Tinggallah namamu tinggalkan cintamu
Tinggalkan segala yang di punya di atas dunia
Hanyalah dirimu hanyalah amalmu
Hanyalah sepimu menemani kesunyian di alam kuburmu
Terngiang-ngiang alunan nasyid Nyanyian Sepi dendangan Opick tatkala jari mulai menaip satu persatu aksara didalam artikel ini. KEMATIAN, satu perkataan yang pastinya semua manusia yang hidup didunia ini tidak mahu menghadapinya. Tidak kiralah samada kematian orang yang disayangi ataupun KEMATIAN DIRI SENDIRI.
Setiap detik, pasti ada orang yang meninggal dunia dan setiap detik jugalah ada bayi yang akan dilahirkan. Begitulah lumrah didunia. Yang hidup pasti akan mati dan kekosongan itu pastinya akan diganti.
Wahai sahabat, dunia ini kita boleh umpamakan sebagai sebatang pohon dimana kita, sang musafir jadikan tempat untuk menumpang berteduh. Selesai sahaja urusan, kita akan menuju ke destinasi selanjutnya iaitu alam kubur.
Di alam barzakh, kita sendiri tidak akan dapat mengetahui bagaimana nasib kita kelak. Adakah kita akan mendapat kenikmatan ataupun kesengsaraan. Adakah kita akan disiksa atau Allah akan melapangkan kubur kita selapang-lapangnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Sayyid Ahmad Al-Rifa’i pernah berkata:
“ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”
Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.
Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: “ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.
Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.
Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.
Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat
Maka dia tidak akan di balas melainkan sebanding dengan kejahatan itu
Dan barang siapa mengerjakan amal yang soleh baik laki-laki maupun perempuan
Sedang ia dalam keadaan beriman maka mereka akan masuk surga
Mereka di beri rizki di dalamnya tanpa hisab
Alunan lagu opick sekali lagi menerpa ke telinga. Mendengarnya, membuatku terfikir masih punya peluangkah diriku untuk memasuki syurga tanpa dihisab. Ya Allah, kerdilnya diri ini.
Saudaraku sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku lembutkannya dan rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:
Pertama-
Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang membaca al-Quran adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.
Kedua-
Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.
Ketiga –
Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.
Keempat-
Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.
Kelima-
Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta, pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.
Tiada bisa manusia mengulur sang waktu
Bila tiba masa datang maut menjemputmu
Semua yang di mata semua yang cinta
Semua yang di bangga akan hilang akan sirna
Lalu lagu Opick berdendang hingga ke akhirnya. Udara nyaman memasuki rongga-rongga pernafasanku. Ya Allah, terima kasih atas nikmat yang kau beri ini. Jika sampai waktu udara ini tidak kuterima lagi, tatkala roh sudah berpisah dari jasad, tempatkanku dikalangan orang-orang yang engkau cintai. Amin....
p/s : Sebahagian nota yang diperoleh dari artikel ini didapati dari sumber bacaan sendiri untuk dikongsi bersama agar dapat sama-sama kita mengambil kebaikan darinya
terus berjuang mendakwahkan agama islam yang mulia ini
ReplyDeletesampai akhir hayat menutup mata