Definisi
Al-syuhh atau bakhil boleh didefinisikan sebagai suatu sifat menahan diri dari memberi, meskipun keperluan peribadi seperti makana, pakaian, minuman dan tempat tinggal telah berjaya dipenuhi. Dari segi praktikaliti, bakhil bermaksud lokek, tangkai jering, pelit, kikir dan tamak. Perkataan bakhil telah Allah sebutkan secara spesifik dalam Surah Al-Lail, ayat ke-8:
"Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya."
Bakhil atau syuhh merupakan suatu perbuatan yang bukan sahaja merosakkan kesalihan, merugikan masyarakat dan membuka kepada jalan penyakit hati yang lain seperti 'ujub, riya' dan ghurur, bahkan mendapat ancaman dari Tuhan sendiri. Dalam Surah Al-Lail, pada ayat yang kontekstual dengan ayat di atas, yakni ayat 9 dan 10, Allah berfirman:
"Serta ia mendustakan perkara yang baik; maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan."
Maka di sini kita dapat melihat betapa sifat bakhil ini hanya membawa kepada keburukan diri-sendiri. Ya, mungkin dengan kebakhilan, kita boleh menjadi manusia yang penuh nikmat dan kekayaan di dunia, namun di akhirat, siapakah yang mampu memberikan syafa'at? Adakah harta kita mampu membelikan kita sebuah gondola bagi mengelakkan panas lautan api neraka? Ini juga, telah Allah jelaskan dalam Surah Ali Imran, ayat 180:
"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak..."
Mereka yang bakhil juga merupakan golongan yang tidak tahu bersyukur. Mereka menyangka bahawa rezeki yang mereka miliki adalah hasil titik peluh sendiri, seperti kisah Qarun. Sedangkan Allah jugalah pemegang segala rezeki dan Dia jugalah yang menguasainya [61:21]. Mereka yang bakhil adalah manusia lupa daratan, seperti kacang melupakan kulit, lupakan asal dirinya yang bermula dari setitis air mani yang hina.
Keburukan kepada masyarakat
Semuanya milik Allah SWT... |
Tadi kita telah membincangkan keburukan bakhil kepada individu. Apa pula implikasi bersifat bakhil ini kepada masyarakat? Untuk ini, saya hanya mengelaborasi sedikit saja dari sebuah hadith yang agak panjang, diriwayatkan oleh Abu Daud:
"Jauhkanlah diri kamu dari kebakhilan, kerana sifat bakhil itulah yang membinasakan orang-orang terdahulu. Sifat bakhil teah menyuruh mereka berbuat zalim, maka mereka melakukan perbuatan zalim. Sifat bakhil telah menyuruh mereka memutuskan tali kekeluargaan, maka mereka memutuskan tali kekeluargaan."
Di sini kita dapat melihat bagaimana sikap bakhil itu mampu memporak-porandakan masyarakat. Dengan kebakhilan, yang miskin tidak terbela dan penindasan harta terjadi. Kekayaan hanya berputar pada golongan kaya sahaja, tanpa mempedulikan golongan miskin.
Kita perlu beringat, dalam Islam, harta sebenar bukanlah apa yang kita miliki, namun apa yang kita belanjakan ke jalan Allah SWT yakni jalan kebaikan. Dr Muhammad Imarah dalam buku beliau, 'Islam dan Keamanan Sosial' menyebut bahawa salah satu poin falsafah Islami mengenai harta adalah "...harta yang melebihi keperluan adalah hak orang yang tidak tercapai keperluannya...". Ini senada dengan suatu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang berbunyi:
"Jika ada seorang penduduk desa mengalami kelaparan maka tanggungan Allah SWT akan dilepaskanndari seluruh penduduk desa itu."
Lihat, kan? Bagaimana sikap bakhil menginfakkan harta, apalagi secara kolektif mampu menyebabkan seluruh warga huru-hara. Menyedihkan jika kita lihat masyarakat kita pada hari ini yang terlalu menyalahkan pemimpin sedang diri-sendiri yang mempunyai kekayaan lebih dari perlu tidak menyumbangkan apa-apa. Juga kita lihat pada manusia yang terlalu bermegah-megah di depan manusia dengan gelang emas dan subang suasanya, sedangkan itu sedikitpun tidak mempunyai nilai pada Pandangan Allah Azzawajalla.
Tak payahlah 'grand' sangat. Seringgit dua sudah mencukupi. Tapi kalau ada ekstra, apa salahnya menderma lebih :) |
Dengan sikap menahan tangan dari menghulur, muka selalau tegang memikirkan ke mana harta itu harus disimpan/dibelanjakan. Ditarik rahmat Allah daripada mereka dan ekonomi akan tunggang-langgang. Keadaan masyarakat akan huru-hara dan korupsi demi memelihara harta terus-terusan berlaku. Ini bukan idealisme songsang; ini kenyataan. Tidak payah pergi ke Amerika negara kapitalis itu, cukup negara kita.
Dengan itu, marilah sama-sama kita merenung diri inshaAllah, dan mensinergikan diri. Jika tiada terdapat kebakhilan, ucapkan syukur kepada Allah SWT dan jika ada, cabut ia cepat-cepat agar hati tidak busuk bernanah. Sebagai penutup entri, renungkan faedah yang Allah SWT berikan secara eksklusif kepada mereka yang berharta, dan menjaga diri serta harta mereka dari kebakhilan, moga menjadi motivasi untuk kita:
[59:9] "Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."
[9:9] "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat;"
[64:16] "Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."
[61:11] "Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."
No comments:
Post a Comment