Tuesday, April 10, 2012

Siri Tujuh Penyakit Hati: Su'uzzhon

Otak adalah senjata terhebat
Salaam 1Ummah. Maaf kerana tertunda siri penulisan 'Tujuh Penyakit Hati'. Alhamdulillah, di berikan kesempatan malam ini untuk menambah episod baharu, penyakit hati lain, inshaAllah. Semoga bermanfaat.

Definisi

Su'uzhon datang dari percantuman perkataan 'suu' iaitu 'buruk' dan 'zhon', yakni 'sangkaan' atau 'andai'. Digabungkan, su'uzzhon bermaksud bersangka buruk. Dalam istilah Bahasa Melayu berprasangka atau prejudisme, dalam Bahasa Inggeris. Apapun ia, maknanya tetap saja sama, iaitu berfikiran atau beranggapan sesuatu itu sebagai tidak betul dan buruk, sedangkan tiada bukti untuk persangkaan tadi.

Keburukan penyakit ini

Su'uzzhon merupakan suatu gejala jiwa yang parah, melanda mereka yang terlalu pentingkan dunia. Kenapa pentingkan dunia? Cuba fikir, bila seseorang menjadikan dunia dan segala apa di dalamnya segala tujuan utama hidup, maka dia akan jadi materialistik, mementingkan diri dan harta dan memandang orang lain sebagai suspek atau manusia berpotensi untuk merampas apa yang dia ada.

Bila ada kesedaran akan akhirat, maka kita tidak akan melihat harta-benda sebagai kepentingan hidup. Bahkan, kita akan kerap memberi, mengingatkan bahawa sadaqah jariah itu satu darpada tiga amalan yang kekal mengalirkan ajr ke dalam akaun akhirat kita. Dengan beriman sepenuhnya pada hari Akhirat, mana mungkin seorang itu punya ruang dan masa untuk berfikiran salah. Dalam Surah ke-49, ayat ke-12 Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang beriman! Jauhilah banyak prasangka dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu zunub dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain..."
Bersangka buruk tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan menambahkan lagi masalah kita di kubur dan di Padang Mahsyar. Dengan bersangka buruk, sedikitpun kebaikan tiada, bahkan menyemai rasa benci terhadap sesama manusia. Penyakit hati ini sangat membahayakan ummah. Bercakap pasal ummah, adalah penting untuk setiap Muslim tahu bahawa bersangka buruk itu  adalah tidak dibenarkan sama sekali. Umar Al-Khattab r.a dalam kitab Tafsir Ibn Kathir dilaporkan sebagai berkata:
"Janganlah kamu bersangka buruk kecuali kebaikan terhadap suatu kata yang keluar dari saudaramu yang mukmin, jika  memang kautemui kemungkinan kebaikan pada kata-kata tersebut."
 Tambahan: yang besar dan yang tidak kena tempat

Penulis tidak dapat menemukan su'uzhon yang lebih berbahaya kepada iman dan akidah selain dari bersangka buruk kepada Allah SWT. Maksudnya, penulis berikan contoh:- bersangka buruk bahawa Allah SWT sengaja mencipta dia untuk dihumban ke dalam api Jahannam. Atau bersangka buruk terhadap segala cubaan yang Allah SWT. Siapakah kita untuk melakukan sedemikian? (Percayalah, sesukar manapun cubaan dari Allah SWT, pasti ada hikmah).

Walau bagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana kita perlu bersikap su'uzhon. Seperti contoh, bila duduk berduaan bersama dengan seorang ajnabi/bukan mahram. Walau bagaimana 'hardcore' sekalipun iman dan ke"surau"an kita, harus kita bersikap bersangka buruk terhadap diri sendiri, supaya ada perangsang untuk menjauhkan diri kita dari situasi terbabit (khalwah).

No comments:

Post a Comment