Friday, April 13, 2012

Ini ker kawan????


Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.

Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu je kehadiran saya.

Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya.
Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya.

Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan. Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.

Jadilah sahabat kepada orang lain, dan jangan sesekali kita tuntut orang lain menjadi sahabat kita. Berhadapanlah realiti.

Kita sukakan kehangatan ukhuwwah. Kita suka baca kisah dua sahabat yang kukuh ukhuwwahnya. Kita juga suka mereka cerita akan dua sahabat yang berpanjangan kasih sayangnya. Saling cinta mencintai, lengkap melengkapi. Jangan salahkan cerita-cerita itu. Pada saya, cerita-cerita sedemikian perlu wujud dalam hidup kita. Kita sepatutnya merealitikan cerita-cerita itu dalam kehidupan kita. Cuma realiti hari ini, perkara sedemikian hampir tiada.

Kenapa?
Kerana bukan semua orang yang faham berkenaan ukhuwwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwwah macam kita faham? Kalau kita faham bahawa ukhuwwah tertinggi adalah itsar(melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya di dalam amalan? Itu sebenarnya, cabaran kita sebagai manusia yang hidup di alam realiti, bukan di dalam novel dan drama. Jangan lepaskan teori itu. Namun ini tidak bermakna, saya menyuruh anda melepaskan ukhuwwah anda. Cuma saya hendak membawa anda melihat satu sisi baru. Dari kita mendambakan balasan sahabat kita, saya senang agar kita melupakan balasan daripada sahabat kita. Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa. Dengan ini, anda tidak melepaskan teori-teori ukhuwwah.

Hakikatnya, teori ukhuwwah bukan terletak kepada dua hala. Kau bagi, dia balas. Dia baik, kau baik. Tidak. Sebenarnya, teori ukhuwwah tersimpan dalam satu individu tanpa menuntut individu lain membalasnya. Ukhuwwah dibina atas dasar keimanan. Dan dari keimanan berbuahnya keikhlasan. Keikhlasan ini membuatkan kita bergerak mengasihi sahabat kita tanpa mendambakan balasan apa-apa. Jangan lepaskan teori ukhuwwah. Anda adalah manusia yang bertanggungjawab membumikannya.

Susah,memang susah. Siapa cakap senang, bohong la. Tapi inilah dia ukhuwwah.Tahu apa yang membuatkan ukhuwwah itu indah? Pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tidak namakan hubungan itu satu ukhuwwah.Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhuwwah kita.

Itu yang membina ukhuwwah. Dan pengorbanan kita mestilah berdiri atas keimanan dan keikhlasan, tidak terkeluar dari batas dua perkara itu. Namun pengorbanan, inilah yang membuatkan manusia sukar merealitikan ukhuwwah. Berkorban tanpa mendapat apa-apa balasan?

Mesti ada yang berfikir 10 kali akan perkara itu. Namun siapakah anda untuk mengubah hati orang lain agar mengira kasih sayang anda kepadanya? Allah jugalah yang membolak balikkan hati.Sebab itu, kita dirikan hubungan kita atas matlamat hendakkan keredhaan Allah SWT. Saya sendiri, tidak akan membina ukhuwwah dengan orang sekiranya Allah tak suruh. Jadi, kita bina semua ini adalah kerana Allah SWT.

Allah SWT, Dialah yang memberi hidayah. Dialah yang membolak balikkan hati. Kita bina hubungan kita dengan ikhlas, kita harapkan nanti Allah SWT akan bantu lembutkan hati sahabat kita, dan buatkan kita dengan sahabat kita hidup dalam kasih sayang yang hangat.

Namun yang penting, dalam ukhuwwah ini, kita yang perlu memberi. Saya suka akan kata-kata seorang ulama di Jordan. Saya selalu ulang. Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT.

Jadi, sebenarnya, untuk kita mendapat timbal balik atas kasih sayang kita kepada sahabat kita, hendaklah kita bergerak membawa dia memahami atas dasar apa ukhuwwah ini dibina. Kalau dia juga faham bahawa hubungan dia dengan kita, adalah tanggungjawab dia kepada Allah, pastinya dia akan bergerak untuk tidak mensia-siakan kita. Namun, sahabat kita bukan matlamat kita. Kalau kita kecilkan skop ukhuwwah ini hanya kepada dua tiga orang di sekeliling kita, maka rugilah kita. Rendahlah ukhuwwah ini sebenarnya.

Apakah matlamat besar ukhuwwah?
Matlamat besar ukhuwwah, adalah untuk manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT duduk di bawah satu bumbung, bergerak dengan satu barisan yang tersusun. Kasih mengasihi kerana Allah, lengkap melengkapi dalam kerja-kerja menyebarkan agama-Nya, mengelak perpecahan agar musuh tidak mampu mengambil peluang daripadanya….

Hilal Asyraf



No comments:

Post a Comment