Wednesday, April 25, 2012

Nyanyian Sepi


Tinggallah namamu tinggalkan cintamu
Tinggalkan segala yang di punya di atas dunia
Hanyalah dirimu hanyalah amalmu
Hanyalah sepimu menemani kesunyian di alam kuburmu

Terngiang-ngiang alunan nasyid Nyanyian Sepi dendangan Opick  tatkala jari mulai menaip satu persatu aksara didalam artikel ini. KEMATIAN, satu perkataan yang pastinya semua manusia yang hidup didunia ini tidak mahu menghadapinya. Tidak kiralah samada kematian orang yang disayangi ataupun KEMATIAN DIRI SENDIRI.

Setiap detik, pasti ada orang yang meninggal dunia dan setiap detik jugalah ada bayi yang  akan dilahirkan. Begitulah lumrah didunia. Yang hidup pasti akan mati dan kekosongan itu pastinya akan diganti.  

Wahai sahabat, dunia ini kita boleh umpamakan sebagai sebatang pohon dimana kita, sang musafir jadikan tempat untuk menumpang berteduh. Selesai sahaja urusan, kita akan menuju ke destinasi selanjutnya iaitu alam kubur. 

Di alam barzakh, kita sendiri tidak akan dapat mengetahui bagaimana nasib kita kelak. Adakah kita akan mendapat kenikmatan ataupun kesengsaraan. Adakah kita akan disiksa atau Allah akan melapangkan kubur kita selapang-lapangnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Sayyid Ahmad Al-Rifa’i pernah berkata: 


“ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Umar bin Abdul Aziz pernah  berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.

Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang  telah bersurai kecuali  beliau dan beberapa orang sahabatnya yang  masih tidak berganjak dari kubur tersebut.  Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: “ Ya,  sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang.  Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada  jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.

Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.

Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku.  Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.

Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat
Maka dia tidak akan di balas melainkan sebanding dengan kejahatan itu
Dan barang siapa mengerjakan amal yang soleh baik laki-laki maupun perempuan
Sedang ia dalam keadaan beriman maka mereka akan masuk surga
Mereka di beri rizki di dalamnya tanpa hisab

Alunan lagu opick sekali lagi menerpa ke telinga. Mendengarnya, membuatku terfikir masih punya peluangkah diriku untuk memasuki syurga tanpa dihisab. Ya Allah, kerdilnya diri ini. 

Saudaraku sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku lembutkannya dan rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:

Pertama-
Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang membaca al-Quran  adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.

Kedua- 
Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.

Ketiga – 
Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan  juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.

Keempat-
Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.

Kelima-
Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah  cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. 


 Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”.  (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta,  pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.

Tiada bisa manusia mengulur sang waktu
Bila tiba masa datang maut menjemputmu
Semua yang di mata semua yang cinta
Semua yang di bangga akan hilang akan sirna


Lalu lagu Opick berdendang hingga ke akhirnya. Udara nyaman memasuki rongga-rongga pernafasanku. Ya Allah, terima kasih atas nikmat yang kau beri ini. Jika sampai waktu udara ini tidak kuterima lagi, tatkala roh sudah berpisah dari jasad, tempatkanku dikalangan orang-orang yang engkau cintai. Amin.... 
p/s : Sebahagian nota yang diperoleh dari artikel ini didapati dari sumber bacaan sendiri untuk dikongsi bersama agar dapat sama-sama kita mengambil kebaikan darinya

Friday, April 20, 2012

sentiasa ingat Allah.. :)

Assalammualaikum buat semua pembaca blog Fiqah Syakirin.. post kali ini adalah untuk sedikit perkongsian ringkas dengan memetik kata-kata seorang imam terkemuka;

"Worship is not the quantity of prayer and fast, it's how much you think of your God" - Imam Hassan Al Askari

ayat yang ringkas, namun membawa maksud yang mendalam. sesungguhnya, dalam usaha kita untuk meraih redha dari Allah, kita cuba untuk mendapat ganjaran pahala ekstra dengan melakukan ibadah-ibadah sunat seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, bersedekah, dan macam-macam lagi.

namun, adakah kita sentiasa memikirkan tentang Allah? ketika kita berpuasa adakah kita ingat bahawa  Allah tidak suka perbuatan mengumpat lalu kita mengurangkan mengata orang dan bergosip? semasa kita bersedekah adakah kita ikhlas dan tidak mengungkit di kemudian hari? 

ringkasnya, setiap perbuatan kita adalah ibadah.. dan setiap ibadah itu harus dilakukan dengan mengingati Allah. dengan mengingati Allah, kita akan memilih untuk tidak melakukan sesuatu yang mengundang murkaNya. ketika diuji, kita juga sentiasa sabar. 

"and Allah is nearer than the jugular veins" (Quran 50:16)

Allah itu sentiasa dekat, Dia mengawasi gerak geri kita, tahu isi hati kita samada baik atau buruk. 

Allah sangat dekat, maka kita sebagai hambaNya harus sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan, dalam lapang dan sibuk, senang dan susah. dengan itu, perbuatan kita terjaga dan ibadah kita tidak menjadi sia-sia.. insyaAllah..

sekian, semoga mendapat hasanah. =) 

Solatnya Bagi Yang Musafir ?

Kewajipan solat jamaah tidak gugur bagi musafir, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkannya di dalam keadaan perang, Dia berfirman.
“Artinya : Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersertamu) sujud (telah menyempurnakan serakaat), maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu”. [An-Nisa : 102]
Berdasarkan dalil ini, apabila ada seorang musafir berada di suatu daerah yang bukan daerahnya, dia wajib menghadiri solat jamaah di masjid ketika mendengar adzan, kecuali bila letaknya sangat jauh, atau khawatir kehilangan teman-temannya, sesuai keumuman dalil yang menunjukkan pada wajibnya solat berjamaah bila mendengar adzan atau iqamah.
Musafir Solat Di Belakang Mukim.
Solat berjamaah adalah wajib bagi orang mukim ataupun musafir, apabila seorang musafir solat di belakang imam yang mukim maka dia mengikuti solat imam tersebut yaitu empat rakaat, namun apabila dia solat bersama-sama musafir maka solatnya di qashar (dua rakaat).
Hal ini di dasarkan atas riwayat sahih dari Ibnu Abbas radhiallahu anhuma. Berkata Musa bin Salamah: Suatu ketika kami di Makkah (musafir) bersama Ibnu Abbas, lalu aku bertanya: Kami melakukan solat empat rakaat apabila bersama kamu (penduduk Mekkah), dan apabila kami kembali ke tempat kami (bersama-sama musafir) maka kami solat dua rakaat ? Ibnu Abbas radhiallahu anhuma menjawab: Itu adalah sunnahnya Abul Qasim (Rasulullah shallallahu alaihi wa’ala alihi wasalla”[34]

Musafir Menjadi Imam Orang Mukim.
Apabila musafir dijadikan sebagai imam orang-orang mukim dan dia mengqashar solatnya maka hendaklah orang-orang yang mukim meneruskan solat mereka sampai selesai (empat rakaat), namun agar tidak terjadi kebingungan hendaklah imam yang musafir memberi tahu makmumnya bahawa dia solat qashar dan hendaklah mereka (makmum yang mukim) meneruskan solat mereka sendiri-sendiri dan tidak mengikuti salam setelah dia (imam) salam dari dua rakaat.
Hal ini pernah di lakukan Rasulullah shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam ketika berada di Makkah (musafir) dan menjadi imam penduduk Mekkah, beliau shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam berkata: Sempurnakanlah solatmu (empat rakaat) wahai penduduk Mekkah ! Kerana kami adalah musafir.[35] Beliau shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam solat dua-dua (qashar) dan mereka meneruskan sampai empat rakaat setelah beliau salam.[36]
Apabila imam yang musafir tersebut khawatir membingungkan makmumnya dan dia solat empat rakaat (tidak mengqashar) maka tidaklah mengapa kerana hukum qashar adalah sunnah mu’akkadah dan bukan wajib.[37]
Solat Jum’at Bagi Musafir.
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak ada solat Jumaat bagi musafir, namun apabila musafir tersebut tinggal di suatu daerah yang diadakan solat Jumaat maka wajib atasnya untuk mengikuti solat jumaat bersama mereka. Ini adalah pendapat imam Malik, imam Syafi’i, Ats-Tsauriy, Ishaq, Abu Tsaur, dll.[38]
Dalilnya adalah bahawasanya Nabi Muhammad shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam apabila safar (bepergian) tidak solat Jumaat dalam safarnya, juga ketika Haji Wada’ Beliau shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam tidak melaksanakan solat Jumaat dan menggantinya dengan solat Zuhur yang dijama’ (digabung) dengan Asar[39].
Demikian pula para Khulafa Ar-Rasyidun (empat khalifah) radhiallahu anhum dan para sahabat lainnya radhiallahu anhum serta orang-orang yang setelah mereka apabila safar tidak solat Jumaat dan menggantinya dengan Zuhur.[40]

Maraji:
[34]. Riwayat Imam Ahmad dengan sanad sahih. Lihat Irwa’ul Ghalil no 571 dan Tamamul Minnah, Syaikh Al-Albani 317
[35]. HR. Abu Dawud..
[36]. Lihat Al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab 4/178 dan Majmu’ Fatawa Syaikh Utsaimin 15/269
[37]. Lihat Taudhihul Ahkam, Syaikh Abdullah bin Abdir Rahman Al- Bassam 2/294-295
[38]. Lihat Al-Mughni, Ibnu Qudamah 3/216, Al-Majmu’Syarh Muhadzdzab, Imam Nawawi 4/247-248, lihat pula Majmu’Fatawa Syaikh Utsaimin 15/370.
[39].Lihat Hajjatun Nabi shallallahu alaihi wa’ala alihi wasallam Kama Rawaaha Anhu Jabir -radhiallahu anhu, Karya Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani hal 73.
[40]. Lihat Al-Mughni, Ibnu Qudamah 3/216.

Sunday, April 15, 2012

Memandang Dengan Pandangan Rahmat.



Hari ini dia mungkin penzina,
esok lusa dia mungkin 'abidah mukhlisah ilallahi ta'ala.

Hari ini dia mungkin tidak bertudung,
esok lusa mungkin dia adalah yang paling ikhlas sekali menutup auratnya, dan paling menjaga kesopanan muslimahnya.

Hari ini dia mungkin seorang yang kaki mencarut,
esok lusa mungkin dia adalah yang paling lembut sekali bicaranya.

Harii ini dia mungkin seorang yang ingkar kepada Allah SWT dengan sering melaksanakan maksiat yang besar,
esok lusa mungkin dia adalah yang paling istiqomah melaksanakan qiamullail kala kita semua sedang lena.

Hari ini dia mungkin seorang yang tidak beriman kepada Allah SWT, syirik kepadaNya, kufur kepadaNya,
esok lusa mungkin dialah yang paling beriman kepadaNya, memperjuangkan hak-hakNya, kala mereka yang telah Islam semenjak lahir dengan warisan keluarga meninggalkan perjuangan menegakkan agamaNya.

Kita tidak pernah tahu.
Kita tidak pernah akan tahu.
Maka dengan alasan apakah kita mahu bersangka-sangka itu dan ini kepada manusia, saat kita pula tidak dapat menembusi jiwanya?
Saat kita pula tidak bersamanya 24 jam sentiasa hingga kita mungkin terlepas banyak kebaikannya yang lain.

Tugas kita bukan me'neraka'kan orang.
Itu urusan Allah SWT. Dia yang memasukkan ke neraka sesiapa yang Dia kehendaki, dan memasukkan ke dalam syurga sesiapa yang Dia kehendaki.

Tugas kita, adalah mengajak manusia ke jalanNya.
Bukan menjahanamkan mereka.

Pandanganlah dengan pandangan rahmat.
Alangkan Allah Yang Maha Berkuasa itu,
tidak pula mengazab Firaun, Namrud, Haman, Qarun, Kaum 'Ad, Kaum Thamud, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain, tanpa menghantarkan kepada mereka para Rasul memberikan peringatan, yang rata-rata bukan sehari dua penyampaian peringatan mereka kepada manusia seperti itu.

Maka siapakah kita untuk memandang orang dengan pandangan laknat?
Sedang Allah SWT sentiasa memandang semua hamba-hambaNya, dengan pandangan rahmat.

Siapakah kita?

Hari ini kita mungkin adalah yang beriman kepadaNya,
ketahuilah bahawa esok lusa, mungkin kita jugalah yang akan kufur dan menentang perintahNya.
Bukan mustahil.
Dan sentiasalah berjaga-jaga.

Friday, April 13, 2012

Ini ker kawan????


Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.

Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu je kehadiran saya.

Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya.
Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya.

Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan. Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.

Jadilah sahabat kepada orang lain, dan jangan sesekali kita tuntut orang lain menjadi sahabat kita. Berhadapanlah realiti.

Kita sukakan kehangatan ukhuwwah. Kita suka baca kisah dua sahabat yang kukuh ukhuwwahnya. Kita juga suka mereka cerita akan dua sahabat yang berpanjangan kasih sayangnya. Saling cinta mencintai, lengkap melengkapi. Jangan salahkan cerita-cerita itu. Pada saya, cerita-cerita sedemikian perlu wujud dalam hidup kita. Kita sepatutnya merealitikan cerita-cerita itu dalam kehidupan kita. Cuma realiti hari ini, perkara sedemikian hampir tiada.

Kenapa?
Kerana bukan semua orang yang faham berkenaan ukhuwwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwwah macam kita faham? Kalau kita faham bahawa ukhuwwah tertinggi adalah itsar(melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya di dalam amalan? Itu sebenarnya, cabaran kita sebagai manusia yang hidup di alam realiti, bukan di dalam novel dan drama. Jangan lepaskan teori itu. Namun ini tidak bermakna, saya menyuruh anda melepaskan ukhuwwah anda. Cuma saya hendak membawa anda melihat satu sisi baru. Dari kita mendambakan balasan sahabat kita, saya senang agar kita melupakan balasan daripada sahabat kita. Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa. Dengan ini, anda tidak melepaskan teori-teori ukhuwwah.

Hakikatnya, teori ukhuwwah bukan terletak kepada dua hala. Kau bagi, dia balas. Dia baik, kau baik. Tidak. Sebenarnya, teori ukhuwwah tersimpan dalam satu individu tanpa menuntut individu lain membalasnya. Ukhuwwah dibina atas dasar keimanan. Dan dari keimanan berbuahnya keikhlasan. Keikhlasan ini membuatkan kita bergerak mengasihi sahabat kita tanpa mendambakan balasan apa-apa. Jangan lepaskan teori ukhuwwah. Anda adalah manusia yang bertanggungjawab membumikannya.

Susah,memang susah. Siapa cakap senang, bohong la. Tapi inilah dia ukhuwwah.Tahu apa yang membuatkan ukhuwwah itu indah? Pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tidak namakan hubungan itu satu ukhuwwah.Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhuwwah kita.

Itu yang membina ukhuwwah. Dan pengorbanan kita mestilah berdiri atas keimanan dan keikhlasan, tidak terkeluar dari batas dua perkara itu. Namun pengorbanan, inilah yang membuatkan manusia sukar merealitikan ukhuwwah. Berkorban tanpa mendapat apa-apa balasan?

Mesti ada yang berfikir 10 kali akan perkara itu. Namun siapakah anda untuk mengubah hati orang lain agar mengira kasih sayang anda kepadanya? Allah jugalah yang membolak balikkan hati.Sebab itu, kita dirikan hubungan kita atas matlamat hendakkan keredhaan Allah SWT. Saya sendiri, tidak akan membina ukhuwwah dengan orang sekiranya Allah tak suruh. Jadi, kita bina semua ini adalah kerana Allah SWT.

Allah SWT, Dialah yang memberi hidayah. Dialah yang membolak balikkan hati. Kita bina hubungan kita dengan ikhlas, kita harapkan nanti Allah SWT akan bantu lembutkan hati sahabat kita, dan buatkan kita dengan sahabat kita hidup dalam kasih sayang yang hangat.

Namun yang penting, dalam ukhuwwah ini, kita yang perlu memberi. Saya suka akan kata-kata seorang ulama di Jordan. Saya selalu ulang. Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT.

Jadi, sebenarnya, untuk kita mendapat timbal balik atas kasih sayang kita kepada sahabat kita, hendaklah kita bergerak membawa dia memahami atas dasar apa ukhuwwah ini dibina. Kalau dia juga faham bahawa hubungan dia dengan kita, adalah tanggungjawab dia kepada Allah, pastinya dia akan bergerak untuk tidak mensia-siakan kita. Namun, sahabat kita bukan matlamat kita. Kalau kita kecilkan skop ukhuwwah ini hanya kepada dua tiga orang di sekeliling kita, maka rugilah kita. Rendahlah ukhuwwah ini sebenarnya.

Apakah matlamat besar ukhuwwah?
Matlamat besar ukhuwwah, adalah untuk manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT duduk di bawah satu bumbung, bergerak dengan satu barisan yang tersusun. Kasih mengasihi kerana Allah, lengkap melengkapi dalam kerja-kerja menyebarkan agama-Nya, mengelak perpecahan agar musuh tidak mampu mengambil peluang daripadanya….

Hilal Asyraf



Tuesday, April 10, 2012

Siri Tujuh Penyakit Hati: Su'uzzhon

Otak adalah senjata terhebat
Salaam 1Ummah. Maaf kerana tertunda siri penulisan 'Tujuh Penyakit Hati'. Alhamdulillah, di berikan kesempatan malam ini untuk menambah episod baharu, penyakit hati lain, inshaAllah. Semoga bermanfaat.

Definisi

Su'uzhon datang dari percantuman perkataan 'suu' iaitu 'buruk' dan 'zhon', yakni 'sangkaan' atau 'andai'. Digabungkan, su'uzzhon bermaksud bersangka buruk. Dalam istilah Bahasa Melayu berprasangka atau prejudisme, dalam Bahasa Inggeris. Apapun ia, maknanya tetap saja sama, iaitu berfikiran atau beranggapan sesuatu itu sebagai tidak betul dan buruk, sedangkan tiada bukti untuk persangkaan tadi.

Keburukan penyakit ini

Su'uzzhon merupakan suatu gejala jiwa yang parah, melanda mereka yang terlalu pentingkan dunia. Kenapa pentingkan dunia? Cuba fikir, bila seseorang menjadikan dunia dan segala apa di dalamnya segala tujuan utama hidup, maka dia akan jadi materialistik, mementingkan diri dan harta dan memandang orang lain sebagai suspek atau manusia berpotensi untuk merampas apa yang dia ada.

Bila ada kesedaran akan akhirat, maka kita tidak akan melihat harta-benda sebagai kepentingan hidup. Bahkan, kita akan kerap memberi, mengingatkan bahawa sadaqah jariah itu satu darpada tiga amalan yang kekal mengalirkan ajr ke dalam akaun akhirat kita. Dengan beriman sepenuhnya pada hari Akhirat, mana mungkin seorang itu punya ruang dan masa untuk berfikiran salah. Dalam Surah ke-49, ayat ke-12 Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang beriman! Jauhilah banyak prasangka dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu zunub dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain..."
Bersangka buruk tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan menambahkan lagi masalah kita di kubur dan di Padang Mahsyar. Dengan bersangka buruk, sedikitpun kebaikan tiada, bahkan menyemai rasa benci terhadap sesama manusia. Penyakit hati ini sangat membahayakan ummah. Bercakap pasal ummah, adalah penting untuk setiap Muslim tahu bahawa bersangka buruk itu  adalah tidak dibenarkan sama sekali. Umar Al-Khattab r.a dalam kitab Tafsir Ibn Kathir dilaporkan sebagai berkata:
"Janganlah kamu bersangka buruk kecuali kebaikan terhadap suatu kata yang keluar dari saudaramu yang mukmin, jika  memang kautemui kemungkinan kebaikan pada kata-kata tersebut."
 Tambahan: yang besar dan yang tidak kena tempat

Penulis tidak dapat menemukan su'uzhon yang lebih berbahaya kepada iman dan akidah selain dari bersangka buruk kepada Allah SWT. Maksudnya, penulis berikan contoh:- bersangka buruk bahawa Allah SWT sengaja mencipta dia untuk dihumban ke dalam api Jahannam. Atau bersangka buruk terhadap segala cubaan yang Allah SWT. Siapakah kita untuk melakukan sedemikian? (Percayalah, sesukar manapun cubaan dari Allah SWT, pasti ada hikmah).

Walau bagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana kita perlu bersikap su'uzhon. Seperti contoh, bila duduk berduaan bersama dengan seorang ajnabi/bukan mahram. Walau bagaimana 'hardcore' sekalipun iman dan ke"surau"an kita, harus kita bersikap bersangka buruk terhadap diri sendiri, supaya ada perangsang untuk menjauhkan diri kita dari situasi terbabit (khalwah).

Wednesday, April 4, 2012

Siri Tujuh Penyakit Hati: Bakhil

Salaam 1Ummah. Penulisan bersiri 'Tujuh Penyakit Hati' diteruskan lagi dengan penjelasan sifat al-syuhh atau bakhil. Jika kita lihat sekarang, apa yang menjadikan umat Islam miskin? Bukanlah kecetekan intelek mahupun kekurangan harta benda, tetapi kerana kebakhilan. Kita akan pergi lebih dalam lagi mengenai bakhil, dimulai dengan definisi.

Definisi

Al-syuhh atau bakhil boleh didefinisikan sebagai suatu sifat menahan diri dari memberi, meskipun keperluan peribadi seperti makana, pakaian, minuman dan tempat tinggal telah berjaya dipenuhi. Dari segi praktikaliti, bakhil bermaksud lokek, tangkai jering, pelit, kikir dan tamak. Perkataan bakhil telah Allah sebutkan secara spesifik dalam Surah Al-Lail, ayat ke-8:
"Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya."
Bakhil atau syuhh merupakan suatu perbuatan yang bukan sahaja merosakkan kesalihan, merugikan masyarakat dan membuka kepada jalan penyakit hati yang lain seperti 'ujub, riya' dan ghurur, bahkan mendapat ancaman dari Tuhan sendiri. Dalam Surah Al-Lail, pada ayat yang kontekstual dengan ayat di atas, yakni ayat 9 dan 10, Allah berfirman:
"Serta ia mendustakan perkara yang baik; maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan."
Maka di sini kita dapat melihat betapa sifat bakhil ini hanya membawa kepada keburukan diri-sendiri. Ya, mungkin dengan kebakhilan, kita boleh menjadi manusia  yang penuh nikmat dan kekayaan di dunia, namun di akhirat, siapakah yang mampu memberikan syafa'at? Adakah harta kita mampu membelikan kita sebuah gondola bagi mengelakkan panas lautan api neraka? Ini juga, telah Allah jelaskan dalam Surah Ali Imran, ayat 180:
"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak..."
Mereka yang bakhil juga merupakan golongan yang tidak tahu bersyukur. Mereka menyangka bahawa rezeki yang mereka miliki adalah hasil titik peluh sendiri, seperti kisah Qarun. Sedangkan Allah jugalah pemegang segala rezeki dan Dia jugalah yang menguasainya [61:21]. Mereka yang bakhil adalah manusia lupa daratan, seperti kacang melupakan kulit, lupakan asal dirinya yang bermula dari setitis air mani yang hina.

Keburukan kepada masyarakat

Semuanya milik Allah SWT...
Tadi kita telah membincangkan keburukan bakhil kepada individu. Apa pula implikasi bersifat bakhil ini kepada masyarakat? Untuk ini, saya hanya mengelaborasi sedikit saja dari sebuah hadith yang agak panjang, diriwayatkan oleh Abu Daud:
"Jauhkanlah diri kamu dari kebakhilan, kerana sifat bakhil itulah yang membinasakan orang-orang terdahulu. Sifat bakhil teah menyuruh mereka berbuat zalim, maka mereka melakukan perbuatan zalim. Sifat bakhil telah menyuruh mereka memutuskan tali kekeluargaan, maka mereka memutuskan tali kekeluargaan."
Di sini kita dapat melihat bagaimana sikap bakhil itu mampu memporak-porandakan masyarakat. Dengan kebakhilan, yang miskin tidak terbela dan penindasan harta terjadi. Kekayaan hanya berputar pada golongan kaya sahaja, tanpa mempedulikan golongan miskin. 

Kita perlu beringat, dalam Islam, harta sebenar bukanlah apa yang kita miliki, namun apa yang kita belanjakan ke jalan Allah SWT yakni jalan kebaikan. Dr Muhammad Imarah dalam buku beliau, 'Islam dan Keamanan Sosial' menyebut bahawa salah satu poin falsafah Islami mengenai harta adalah "...harta yang melebihi keperluan adalah hak orang yang tidak tercapai keperluannya...". Ini senada dengan suatu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang berbunyi:
"Jika ada seorang penduduk desa mengalami kelaparan maka tanggungan Allah SWT akan dilepaskanndari seluruh penduduk desa itu."
Lihat, kan? Bagaimana sikap bakhil menginfakkan harta, apalagi secara kolektif mampu menyebabkan seluruh warga huru-hara. Menyedihkan jika kita lihat masyarakat kita pada hari ini yang terlalu menyalahkan pemimpin sedang diri-sendiri yang mempunyai kekayaan lebih dari perlu tidak menyumbangkan apa-apa. Juga kita lihat pada manusia yang terlalu bermegah-megah di depan manusia dengan gelang emas dan subang suasanya, sedangkan itu sedikitpun tidak mempunyai nilai pada Pandangan Allah Azzawajalla. 
Tak payahlah 'grand' sangat. Seringgit dua sudah mencukupi.
Tapi kalau ada ekstra, apa salahnya menderma lebih :)
Dengan sikap menahan tangan dari menghulur, muka selalau tegang memikirkan ke mana harta itu harus disimpan/dibelanjakan. Ditarik rahmat Allah daripada mereka dan ekonomi akan tunggang-langgang. Keadaan masyarakat akan huru-hara dan korupsi demi memelihara harta terus-terusan berlaku. Ini bukan idealisme songsang; ini kenyataan. Tidak payah pergi ke Amerika negara kapitalis itu, cukup negara kita.

Dengan itu, marilah sama-sama kita merenung diri inshaAllah, dan mensinergikan diri. Jika tiada terdapat kebakhilan, ucapkan syukur kepada Allah SWT dan jika ada, cabut ia cepat-cepat agar hati tidak busuk bernanah. Sebagai penutup entri, renungkan faedah yang Allah SWT berikan secara eksklusif kepada mereka yang berharta, dan menjaga diri serta harta mereka dari kebakhilan, moga menjadi motivasi untuk kita:
[59:9]  "Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." 
[9:9]  "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat;" 
[64:16]  "Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." 
[61:11]  "Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."

Tuesday, April 3, 2012

Siri Tujuh Penyakit Hati: Al-Hiqd

Salaam 1Ummah. Selawat serta salaam kepada Penghulu kita, Nabi Muhammad SAW. Hari ini, penulis ingin berkongsi satu lagi ilmu. Bukan sepenuhnya dari penulis, tapi hasil pencarian untuk tajuk liqa' Asy-Syakirin. Berkenaan penyakit hati yakni hiqd. Penyakit hati yang lain akan ditulis oleh admin lain atau jika penulis ada masa akan ditambah. InshaAllah bermanfaat. 

Al-Hiqd (Dendam)

Al-Hiqd adalah suatu sifat yng tidak baik, di mana seseorang mencemburui seseorang yang lain kerana kelebihan-kelebihan orang lain yang tidak ia miliki. Sifat dendam adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tokoh bahkan menurut suatu hadtih yang diriwayatkan oleh Aisyah  r.a dalam Sahih Bukhari, Kitabul Adab, Buku 73, ayat 147: "...Rasulullah SAW tidak pernah membalas dendam untuk dirinya."

Dalam realiti sekarang, jelas kepada kita bagaimana jeleknya perbuatan hati berdendam ini. Kes berbunuhan sesama saudara demi harta, pangkat dan pasangan menjadikan si pelaku umpama haiwan:- berbunuhan tanpa sedikitpun berasa malu kepada Allah SWT. Membuta tuli.

Kisah Saidina 'Ali Karamallahu Wajhah r.a di medan perang

Sikap membenci hiqd juga dilihat dalam peribadi Saidina Ali Karamallahu Wajhah r.a. Sewaktu dalam suatu  perang, beliau berhadapan dengan seorang kuffar. Setelah bertarung sebentar, si kuffar terbaring ke tanah dan Saidina Ali KWJ r.sudah bersedia untuk menamatkan riwayat di kuffar. Apa si kuffar buat?

Dia meludah Saidina Ali KWJ r.a kerana sudah buntu menyelamatkan diri. Saidina Ali KWJ r.a yang sudah mengangkat pedang lantas berkata dengan perkataan yang menyebabkan  lelaki tadi mengucap dua kalimah syahadah. Lihatlah bagaimana akhlak mulia mentarbiyyah manusia:
"Pergilah! Kamu sudah bebas. Kini aku tidak boleh mambunuhmu. Sebelum ini, aku memerangimu kerana ad-din (Islam). Jika aku bunuh kau sekarang, akan ada unsur amarah dan dendam ... kamu telah memalukanku, dan aku tidak mahu untuk mendendamimu.Bukanlah keberanian tetapi sikap pengecut yang menyebabkan seseorang terbunuh demi kepentingan sendiri."