Thursday, April 14, 2011

Selangkah ke Palestin : The Untold Story


Alhamdullilah, dengan limpah dan kurniaNya, dapatlah kita sama-sama menghayati satu lagi isu menarik pada ceramah yang diadakan khamis malam kali ini. Ceramah ini disampaikan sendiri oleh seorang sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan Palestin pada tahun lepas. Bertempat di surau As-Syakirin,Ir. Dr. Selamat menceritakan mengenai pengalaman beliau sewaktu detik cemas itu berlaku. Beliau juga menekankan mengenai hubungan kita dengan bumi palestin sebagai isu kemanusiaan dan aspek akidah dimana kita wajar mengambil tahu tentang hal-ehwal masyarakat Palestin. Terdapat pelbagai gerakan pembebasan muncul di Palestin seperti Fatah (1959) namun Israel terus menekan kerajaan Palestin yang baru dibentuk oleh Hamas. Revolusi Israel terus melanda negara itu dan apa yang lebih sadis apabila Yahudi terus merampas tanah yang bukan milik mereka.

Misi Kemanusiaan LL4G

Mengimbau kembali detik bersejarah itu, Ir.Dr. Selamat sempat meluahkan perasaan beliau dimana terdapat banyak syarikat yang menolak untuk memberi sewa kapal bagi misi kemanusiaan kerana gentar akan ancaman Israel. Namun, para sukarelawan bangkit untuk meneruskan misi mereka dengan adanya kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie. Namun malang menimpa mereka apabila Kapal Mavi Marmara diserang di perairan antarabangsa oleh tentera Israel. Dr.Selamat menjelaskan lagi waktu kejadian itu kira-kira awal pagi selepas solat subuh pada 31 Mei 2010. Perasaan takut mula menyelubungi para sukarelawan ketika mengerjakan Solat Subuh setelah bot Israel menghampiri kapal mereka.

Tiada perkataan yang mampu menggambarkan kekejaman Israel terhadap para sukarelawan. Dr. Selamat menceritakan bagaimana pihak Israel menyembunyikan kejahatan mereka dengan memberi alasan bahawa mereka melepaskan tembakan kerana para sukarelawan bertindak memukul mereka. Lebih kejam lagi, tentera Israel telah merampas semua peralatan media seperti kamera, telefon dan komputer. sewaktu Dr. Selamat berkongsi video, kami tertarik dengan kisah seorang sukarelawan dari Indonesia yang cedera parah akibat terkena tembakan. Apa yang menyedihkan lagi, pihak hospital Israel telah merawat mangsa itu dengan cara yang langsung tidak boleh diterima akal. mereka menjahit luka mangsa bak kata orang melayu, 'cincai-cincai je'.Alhamdulillah,sukarelawan tersebut selamat setelah menjalani pembedahan yang kedua di negaranya. Selain itu, para sukarelawan ini juga ditahan di penjara Israel tanpa apa-apa kesalahan.

Meskipun terdapat banyak lagi kisah-kisah yang ingin dikongsi oleh beliau kepada warga IPG KPT, namun masa tidak mengizinkan. Walaupun begitu, kita tetap mampu merasai kesakitan dan keperitan yang telah dilalui mereka sepanjang tempoh tersebut. Semoga kita dapat menghayati peristiwa ini dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Wassalam.



No comments:

Post a Comment