Tuesday, April 19, 2011

11 Sifat Orang Beriman

Assalammualaikan w.b.t buat para pembaca Firqah Syakirin.

InsyAllah, untuk entri hari Rabu minggu ini, Firqah Syakirin ingin berkongsi tentang isi-isi penting di dalam Surah Furqan. Surah ini adalah surah yang ke 25 di dalam Al-Quran (juz 18-19) dan telah diturunkan di Mekah Mukarramah. Furqan bermaksud pembeza. Furqan juga merupakan nama lain bagi Al-Quran kerana Al-Quran adalah pembeza bagi yang haq dan batil.

untuk pengisian rohani pada hari ini, Firqah Syakirin akan menerangkan tentang perbezaan orang yang beriman dan yang tidak beriman. pada ayat 63-77 ada menggambarkan bahawa terdapat 11 sifat yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman.


1. Sifat tawadhu'

Tawadhu adalah sifat merendah diri. kata lawan bagi tawadhu' adalah takabbur (sifat membangga-bangga diri). Allah amat menyukai orang2 yg bersifat tawadhu' dan membenci orang-orang yang takabbur. Di dalam satu hadith ada mengatakan bahawa, jika di dalam diri seseorang terdapat sifat takabbur walau sebesar biji zarah, maka haram baginya Syurga.

orang yang beriman akan berjalan dengan penuh tawadhu; dalam keadaan tunduk dan merasakan bahawa dirinya sangat kecil.

2. Selalu mengucapkan kata-kata yang baik

Orang yang beriman akan sentiasa menuturkan kata-kata yang baik meski dia dilontar dengan perkataan yang tidak baik. perkara ini memang agak sukar untuk dilakukan, terutamanya ketika hidup di dalam kalangan dan budaya masa kini. namun, kita harus ingat bahawa Rasulullah SAW telah berpesan, bahawa orang yang paling baik akhlaknya adalah orang yang apabila diputuskan silaturrahim, dia tidak akan memutuskan silaturrahim.

3. Suka tahajjud di malam hari

Ayat ke 64 dari Surah Furqan bermaksud; "Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka"

sebelum itu, Firqah Syakirin ingin bertanya kepada para pembaca, bilakah waktu tidur yang paling sedap? mestilah tidur setelah bantal disorongkan apabila terjaga di lewat malam. bangun untuk solat tahajjud memerlukan keimanan dan keazaman yang kuat kerana ianya bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. namun, orang-orang yang beriman sentiasa tidak sabar untuk bermunajat dan memohon keampunan dari Allah Al Ghaffar.

Solat sunat tahajjud juga merupakan solat sunat muakkad (sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW)

4. Takutkan seksa Allah

Apabila seseorang itu takutkan seksa Allah, maka dia akan sentiasa menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mentaati segala perintah Allah. Rasa takut ini penting kerana sebagai manusia, kita tidak terhindar dari melakukan kesilapan. tapi bila kita rasa takut dengan azab kubur dan seksa neraka, secara automatik, nak buat dosa pun takut.

tips untuk menghindari melakukan dosa, bayangkan ketika kita melakukan dosa tersebut, Allah tarik nyawa kita. takut kan? selain itu, kita juga hendaklah selalu berdoa agar hati kita disucikan dari sebarang keinginan untuk berbuat dosa, dan berdoalah agar hati kita dibersihkan dari segala kebencian kecuali kebencian kepada syaitan dan iblis dan perkara-perkara mungkar.

5. Bersederhana di dalam berinfaq

orang yang beriman akan sentiasa bersederhana dalam berbelanja. maksudnya, apabila berbelanja tidak akan boros dan tidak juga akan kedekut. sifat sederhana ini sentiasa ada tidak kira apa yang dilakukan. apabila bersedekah, bersedekahlah secara yang termampu dan tidak perlu menunjuk-nunjuk akan jumlah yang disedekahkan. namun, kita juga tidak harus bersifat kedekut di dalam amalan sedekah. cukuplah sekadar yang termampu. modesty is the key :)

6. Menjauhkan sifat syirik

kriteria yang ke 6 ini telah dinyatakan di dalam ayat 68 - 71 Surah Furqan. syirik itu bermaksud menyekutukan Allah atau menyembah selain dari Allah yang Maha Esa. sebagai seorang Islam, kita hendaklah berpegang pada rukun Islam yang pertama iaitu kalimah syahadah yang mana kita mengakui dengan lidah, hati dan anggota badan bahawa "Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah". sekaligus, apabila kita mempercayai bahawa ada kuasa yang lebih berkuasa dari Allah, maka syiriklah kita. Dosa syirik tidak akan pernah diampunkan oleh Allah.

7. Menjauhkan diri dari perbuatan membunuh

perbuatan membunuh merupakan dosa besar kerana ajal, maut adalah di tangan Allah. apabila seseorang melakukan perbuatan membunuh maka ia seolah-olah membunuh seluruh manusia (seperti yang tersurat dalam ayat 32 Surah Al Maidah)

namun, perbuatan membunuh seseorang atas dasar hukum qisas adalah dibolehkan.

8. Menjauhi zina

Ayat 69 Surah Furqan menyatakan bahawa penzina-penzina akan dilipat gandakan azabnya dan akan kekal di dalam neraka yang hina. namun pada ayat 70 dan 71, Allah telah memberikan khabar gembira buat mereka yang bertaubat.. betapa Pengasihnya Allah. apabila seseorang melakukan dosa dan bertaubat, dia akan diberikan pahala bertaubat. apabila dosanya itu telah hilang tetapi tetap meneruskan untuk bertaubat, maka pahala bertaubat akan sentiasa bertambah.

9. Mengelak dari bersaksi palsu

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya. (Q.S. Al-Furqaan: 72)

Situasi ini sering terjadi, contohnya dalam sistem perhakiman yang tidak adil. apabila saksi memberikan keterangan yang palsu, ia akan menyebabkan orang yang tidak bersalah dihukum.
*sila betulkan jika ada kesilapan*

10. Senang menerima nasihat

Orang-orang yang beriman suka mendapat nasihat dan mendapatkan pengajaran dari orang-orang yang memberikan pengajaran. sesetengah individu merasakan bahawa tiada yang layak untuk menasihati dirinya, ia adalah salah satu sifat takabbur (berbalik kepada kriteria pertama). sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa memberikan ruang untuk penambahbaikan dalam diri kita dan memantapkan iman.

11. Sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT

Orang-orang seperti ini dikatakan akan mendapat ganjaran yang paling tinggi di akhirat. Berdoalah sentiasa kepada Allah, berdoalah untuk kebaikan diri sendiri, untuk ibu bapa, keluarga, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan seluruh Muslimin dan Muslimat.

kadangkala Allah menangguhkan untuk memakbulkan doa kita kerana Allah rindu akan rintihan hambaNya.

Begitulah sedikit kupasan yang dapat dikongsikan pada post kali ini. semoga dapat menyuntik semangat kita untuk menjadi hamba yang terbaik, menjadi umat yang terbaik dan menjadi diri kita yang terbaik.

Wallahualam.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment