Thursday, May 12, 2011

Ceramah Perdana : Perbandingan Antara Agama


Surau As-Syakirin IPGM KPT


Alhamdullilah, bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapatlah kita bersama-sama lagi dalam perkongsian ilmu pada hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, telah berlangsungnya aktiviti solat hajat dan ceramah perdana pada khamis malam jumaat iaitu 12 Mei 2011 di Surau As-Syakirin. Warga IPtek dilihat cukup bertuah dengan kehadiran penceramah yang begitu hebat dan ' approachable' pada kali ini iaitu Ustaz Shah Kirit. Sebelum Firqah Syakirin mengolah mengenai isu yang telah diutarakan, marilah kita bersama-sama berkenalan dengan Ustaz Shah yang juga merupakan ahli persatuan Friendly Comparative Religion. Untuk makluman bagi muslim dan muslimat yang tidak berkesempatan untuk mengikut program ini, ustaz telah memeluk islam sejak 15 tahun yang lepas. Apa yang lebih menarik lagi, beliau telah membahasakan dirinya dengan panggilan 'brother Shah' sewaktu ceramah dijalankan selepas solat fardhu maghrib.

Isu dakwah merupakan aspek yang telah diberikan penekanan dalam isi ceramah yang disampaikan oleh beliau. Dakwah dari segi bahasa bermaksud menjemput atau memanggil manakala daripada segi syarak pula ia membawa pengertian yang lebih khusu iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah S.W.T.

Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.

Surah Yusuf (13): 108

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab berdakwah itu bukanlah untuk digalas semata-mata oleh imam mahupun ustaz tetapi ianya tanggungjawab semua muslim yang ada di muka bumi ini. Selain itu, beliau memperingatkan kepada semua hadirin yang hadir dalam ceramah yang penuh barakah itu untuk sama-sama memikirkan mengenai kepentingan dakwah kepada bukan muslim dan bagaimana untuk melaksanakan tugas tersebut. Di sini, Firqah Syakirin ingin melahirkan rasa bangga terhadap Ustaz Shah kerana beliau banyak mengetahui ilmu-ilmu yang penting dalam usaha menyampaikan dakwah dengan berkesan. Menurut beliau, selaku seorang muslim, kita haruslah mengkaji agama yang lain bagi memudahkan proses dakwah itu kerana kita tahu apa yang mereka praktikkan dan kita akan mudah untuk mendekati mereka. Walhal, ustaz sendiri telah banyak belajar dan mengkaji mengenai agama hindu, kristian, sikhism dan sebagainya.

Muslim pada hari ini banyak menidakkan tugas berdakwah dengan alasan, ' Saya pon x betul, camner nak bimbing orang?' Selaku muslim yang bersemangat, kita boleh melaksanakan tanggungjawab seperti itu disamping berusaha untuk memperbaiki diri kita sendiri. Janganlah kita merasa rendah diri dek kerana dosa yang telah kita lakukan. Di samping itu juga, ustaz banyak berkongsi mengenai asal-usul agama-agama lain dan ini secara tidak langsung dapat menambahkan ilmu pada warga IPtek. Dalam kesibukan berdakwah kepada masyarakat yang bukan muslim, kita alpa dan lupa kepada golongan muslim yang telah hanyut dalam dunia mereka sendiri. Kebanyakan golongan ini terlibat dalam kancah kehinaan seperti gejala maksiat. Justeru, kitalah yang harus membawa mereka pulang dan menuju kepada jalan yang benar. Islam juga menyuruh umatnya untuk menyampaikan teguran mahupun dakwah dengan cara yang sopan dan berhemah seperti yang telah dilaksanakan oleh para nabi-nabi dahulu.

Secara konklusinya,program pengisian seperti ini amat bagus bagi kita bakal guru-guru kerana kitalah yang akan membentuk 'benteng pertahanan negara'. Jika kita merupakan seorang hamba Allah yang berani, maka anak didik kita juga akan mengikuti jejak langkah kita. Sampai disini sahaja perkongsian ilmu daripada Firqah Syakirin. Semoga bertemu lagi dan sama-samalah kita merubah diri kita ke arah yang lebih baik. Wassalam.




No comments:

Post a Comment