Monday, October 8, 2012

Teladan Orang Yang Redha Atas Takdir Allah


1. Nabi Muhammad saw.

Allah Ta’ala berfirman,


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzaab: 21)

Rasulullah saw. adalah contoh teladan terbaik yang perlu kita contohi dalam konsep redha. Baginda pernah berdoa,

“Ya Allah, dengan pengetahuan-Mu pada yang ghaib, dan kuasa-Mu atas makhluk-Mu, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku. Aku memohon rasa takut pada-Mu baik dalam keadaan terang-terangan mahupun dalam keadaan sembunyi-sembunyi, tanamkanlah keikhlasan saat redha dan marah. Aku memohon kepadaMu kenikmatan yang tidak pernah putus. Dan aku memohon kepada-Mu agar Engkau tanamkan keredhaan (dalam hati) atas semua takdir-Mu, kehidupan yang damai setelah mati dan nikmatnya melihat wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu denganMu. Aku berlindung pada-Mu dari sesuatu yang membahayakan dan fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, perindahkanlah diri kami dengan iman dan jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menyebarkannya (kepada orang lain).” (HR Nasa’i)

Kita boleh melihat keredhaan Rasulullah pada saat Ibrahim, putera baginda, meninggal dunia. Dialah (Ibrahim) satu-satunya anak lelaki baginda, dan saat itu usia Rasulullah sudah mencapai 62 tahun. Rasa cinta Rasulullah kepadanya sangat mendalam, sehinggakan saat Rasulullah pergi ke rumah para sahabat, baginda mendokongnya. Tetapi, pada usianya mencapai 6 tahun, putera kesayangannya itu meninggal dunia. Apa yang dilakukan Rasulullah ketika itu?

Anas bin Malik berkata, “Kami bersama Rasulullah saw. berkunjung ke rumah Abu Saif al-Qain, keluarga yang mengasuh dan menyusui Ibrahim. Saat Rasulullah melihatnya, baginda terus mendukung Ibrahim dan menciumnya berkali-kali. Sementara itu, Ibrahim sudah dalam keadaan yang lemah, dan tidak lama kemudian, Rasulullah menitiskan air mata. Melihat hal itu, Abdurrahman bin Auf berkata, “Wahai Rasulullah, kenapa engkau menangis?” Baginda menjawab, “Ini adalah air mata kasih sayang.” Rasulullah saw. kemudian berkata, “Mataku boleh mencucurkan air mata, hatiku boleh bersedih, tetapi aku tidak akan berkata kecuali apa yang diredhai Allah. Wahai Ibrahim, kami semua berasa sedih.” (HR Bukhari)

Apa yang dialami Rasulullah saw. menunjukkan bahawa baginda mempunyai kasih sayang dan juga redha. Mata menangis (sebagai tanda kesedihan), tetapi hati tetap redha.

2. Fudhail Bin Iyad

Beliau adalah imam para tabi’in. Beliau mendapat gelaran Aabidil haramain (orang yang ahli ibadah di Tanah Haram), kerana ibadah yang dikerjakannya. Beliau lebih banyak diam, dan kurang senyum. Sifatnya yang kurang senyum ini berlarutan sehingga 30 tahun lamanya. Dan saat puteranya meninggal dunia, beliau tersenyum. Melihat hal ini, ramai yang hairan kepadanya. Mereka berkata, “Sungguh pelik sikapmu, engkau sering kali tersenyum semenjak ditinggal anakmu, padahal dulunya engkau jarang tersenyum. Apa yang terjadi?”

Fudhail menjawab, “Aku rasa gembira atas takdir Allah di setiap waktu. Kerana itulah aku tersenyum untuk membuat hatiku redha.”

Jadi, senyumnya Fudhail merupakan usaha agar redha tertanam dalam hatinya, meskipun anaknya telah tiada.
Para ulama’ membandingkan sikap yang ditampilkan Fudhail dengan apa yang pernah dilakukan Rasulullah saw. Dalam pandangan mereka, Rasulullah telah menyatukan sikap sayang dengan redha, sementara Fudhail belum boleh menyatukan antara duanya. Kerana itulah, beliau tersenyum agar dapat bersikap redha. Dengan demikian, kasih sayang terhadap anaknya tidak sampai menghilangkan keredhaannya kepada Allah Ta’ala. Memang sangat berat untuk menyatukan dua sikap mulia itu: sayang dan redha.

3. Umar Ibnu Khattab

Umar Ibnu Khattab berkata, “Apapun musibah yang menimpaku, aku tetap memuji Allah Ta’ala kerana empat perkara: Pertama, selagi musibah itu tidak menimpa agamaku. Kedua, musibah yang menimpaku tidak lebih besar hebatnya berbanding dengan musibah yang menimpa agamaku. Ketiga, Allah Ta’ala akan memberi balasan syurga bagiku atas musibah yang menimpaku. Dan keempat, aku terkenang musibah yang menimpa Rasulullah.

Sahabatku, mari kita renungkan prinsip yang menjadi pengangan Saidina Umar. Beliau tidak pernah lupa mengucapkan alhamdulillah meskipun musibah menimpanya. Inilah tingkatan redha yang paling tinggi. Pada umumnya, orang yang terkena musibah akan berduka, tetapi yang dilakukan Umar amat berbeza, malah beliau mengucapkan syukur saat musibah menimpanya, selagi yang menimpanya itu berkaitan dengan masalah dunia. Sebesar manapun musibah yang bersifat duniawi itu akan terasa ringan dan remeh jika dibandingkan dengan musibah yang berkaitan dengan agama. Allah Ta’ala akan membalas musibah yang menimpanya dengan syurga. Umar juga teringat dengan musibah yang dialami Rasulullah saw. hingga apapun yang menimpanya akan terasa ringan.

Umar pernah berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah mempedulikan apapun yang menimpa diriku dalam urusan dunia, baik itu sesuatu yang baik ataupun buruk, kelapangan ataupun kesimpitan, kebahagian ataupun kesempitan, kebahagian ataupun kesedihan selagi aku masih menjadi muslim.”

4. Imran Bin Husain

Imran Bin Husain termasuk dalam sahabat Rasulullah saw yang selalu menyertai peperangan. Tetapi, setelah Rasulullah wafat, beliau menghidap penyakit stroke yang menjadikan sebahagian tubuhnya lumpuh. Beliau berada di atas pembaringan selama 30 tahun. Pernahkah kita membayangkan andai kita yang menghadapinya? 30 tahun lamanya di atas pembaringan (seperti katil), sehinggakan beliau membuat lubang di tempat tidurnya untuk buang air kerana beliau tidak boleh bergerak lagi.

Ketika para sahabat menziarahinya, dan mereka melihat keadaanya seperti itu, mereka mengalirkan air mata. Saat Imran bin Husain melihat tangisan para sahabat, beliau berkata,“Kalian menangis kerana sedih melihat penderitaanku, tapi aku redha pada Tuhanku. Aku mencintai apapun yang dicintai Allah Ta’ala, dan aku redha apapun yang diredhaiNya. Aku sangat bahagia dengan pilihan Allah. Demi Allah, dengan keadaanku seperti ini, aku rasakan selalu dikunjungi para malaikat dengan membaca tasbih Allah. Aku tahu bahawa apa yang menimpaku bukanlah hukuman dari Allah Ta’ala, tapi Dia ingin mengujiku, apakah aku redha kepada-Nya. Saksikanlah, bahawa aku redha kepada Allah Ta’ala.

5. Urwah Bin Zubir

Ayah Urwah adalah Zubir bin Awwam, salah satu di antara 10 sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Suatu ketika, Urwah Bin Zubir bersama puteranya pergi menjenguk Amirul Mukminin di Damaskus. Tatkala mereka sampai di sana, puteranya berkata, “Ayah, aku ingin melihat kuda Amirul Mukminin.”

Urwah mengizinkan anaknya lantas berkata, “Turunlah, bermainlah dengan kuda itu!”

Puteranya lalu turun. Tetapi ketika itulah beliau terpijak kuda hingga meninggal. Pada masa yang sama, Urwah merasakan sakit di salah satu kakinya, dan didapati kakinya harus dipotong. Akhirnya, Urwah pun kehilangan salah satu kakinya dan juga kehilangan puteranya. Orang-orang tidak tahu bagaimana mengungkapkan rasa simpati kepadanya. Dua musibah berat yang menimpanya: puteranya meninggal dan kakinya harus dipotong. Orang-orang pun menjenguknya dengan perasaan sedih. Melihat pandangan mereka, Urwah faham bahawa mereka sedih melihat musibah yang menimpanya. Urwah pun berkata,“Ya Allah, bagimu segala pujian. Engkau telah memberiku empat organ tubuh, lalu Engkau mengambilnya satu, dan Engkau tinggalkan tiga. Engkau telah memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau sudah mengambilnya satu dan Engkau tinggalkan enam. Kalau Engkau sudah mengambil dan meninggalkan, maka segala puji bagi-Mu atas apa yang telah Engkau ambil, dan segala puji bagi-Mu atas segala apa yang Engkau tinggalkan.”

Kemudian Urwah berkata pada orang-orang yang menjenguknya, “Saksikanlah, aku redha pada Tuhanku, maka kalian pun harus redha kepada-Nya!”

6. Shafiyah Binti Abdul Mutalib

Beliau adalah saudara perempuan Hamzah bin Abdul Mutalib. Bersama Hamzah, Shafiyah turut serta dalam Perang Uhud. Di tengah peperangan, Hamzah gugur sebagai syahid.

Tatkala Rasulullah saw. mendengar berita perlakuan kaum musyrikin terhadap jasad Hamzah dengan merosak mukanya, membelah perutnya, mengeluarkan jantungnya dan mengunyahnya, Rasulullah menyuruh Zubir Bin Awwam membawa ibunya (Syafiyah) pulang ke Madinah. Baginda khuatir Shafiyah sedih berkepanjangan atas apa yang menimpa Hamzah.

Kemudian, Zubir mendekati ibunya itu, dan memberitahu bahawa Rasulullah menyuruh dirinya membawa pulang ibunya ke Madinah. Shafiyah berkata kepada anaknya, “Anakku, kalian melakuka ini kerana takut aku merasakan sedih berpanjangan melihat apa yang menimpa Hamzah? Anakku, jika dibandingkan dengan nikmat yang telah diberikan Allah, apa yang terjadi pada Hamzah itu tidak ada apa-apapun. Allah sedang menguji kita, melihat kita, apakah kita redha atau tidak? Anakku, ibu redha dengan apa yang menimpa Hamzah.” Zubir pun memberitahukan sikap ibunya kepada Rasulullah saw, lantas Rasulullah bersabda, “Jika demikian, biarkanlah dia!”.

Lalu Shafiyah datang dan berdiri dekat pada mayat Hamzah, sambil mengucapkan Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun(sesungguhnya kita milik Allah, dan kita semua akan kembali kepada-Nya).
Shafiyah lalu solat jenazah jenazah ke atas saudaranya itu sambil menangis.

7. Sa’ad Bin Abi Waqqash

Beliau termasuk salah satu dari 10 orang sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Beliau pejuang besar dalam peperangan Qadisiyah yang menakluk Parsi, dan sahabat yang mustajab doanya. Rasulullah saw. pernah berkata kepadanya, “Wahai Sa’ad, panahlah!” bersamaan dengan itu, Rasulullah saw berdoa, “Ya Allah, tepatkanlah sasaran anak panahnya, dan kabulkanlah doanya.”

Dengan doa Rasulullah inilah, sehingga doa-doa yang dipanjatkannya dikabulkan oleh Allah swt. Di manapun beliau berada, orang-orang mengerumuninya, memintanya agar mendoakan mereka. Lalu dia mendoakan mereka dan doanya dikabulkan oleh Allah Ta’ala.

Di akhir saat kehidupannya, Saad menjadi buta. Pada suatu hari, ada seorang pemuda yang menemuinya dan berkata, “Wahai Saad, matamu sekarang buta, sedangkan doamu mustajab. Berdoalah kepada Allah supaya penglihatanmu dikembalikan!.”

Saad menjawab, “Ketetapan Allah lebih aku cintai daripada mataku. Patutkah aku tidak redha terhadap apa yang Allah redha untukku? Demi Allah ! Aku tidak mahu berdoa dan meminta kesembuhan mataku.”

Sikap yang dimiliki Sa’ad bin Abi Waqqash ini hanya boleh dimiliki oleh orang-orang yang dekat dengan Allah.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah redha terhadap Tuhan kita?

8. Abdullah Bin Mas’ud

Pada satu hari, tiga orang tabi’in, yakni asy-Sya’abi, Sa’id Bin Musayyab, dan Abdullah Bin Mas’ud sedang berehat bersama. Salah seorang daripada mereka berdoa, “Ya Allah, Aku memohon pada-Mu untuk mencabut nyawaku dalam waktu terdekat.”

Mendengar hal itu, maka bertanyalah yang lain, “Kenapa engkau berdoa seperti itu?”

“Kerana terlalu banyak godaan. Aku takut diriku terjerumus pada godaan itu.” Jawabnya.

Tabi’in yang kedua pula berdoa, “Ya Allah, panjangkanlah umurku!”

“Kenapa negkau berdoa demikian?” tanya yang lain.

“Aku berharap, semoga di suatu hari nanti, aku mendapat kesempatan untuk beribadah yang membuatkan Allah meredhaiku.”jawabnya.

Dan saat giliran Abdullah Bin Mas’ud, beliau berdoa, “Ya Allah, Aku tidak akan memilih untuk diriku. Pilihkanlah untukku sekehendak-Mu! Apapun yang Engkau pilih untukku, itulah yang terbaik, “

“Engkau adalah orang yang terbaik daripada kami,” kata dua orang yang berdoa sebelumnya.

Abdullah Bin Mas’ud berkata, “Selama 40 tahun, apapun yang Allah berikan padaku, aku redha. Demi Allah, aku tidak pernah menangisi apa pun yang menimpaku di dunia ini. Aku hanya menangisi hilangnya agama.”

Semoga Allah menanamkan keredhaan dalam hati kita, Amin!

9. Antara Kita Dan Mereka

Mungkinkah engkau merasa bahagia, sementara hidup ini adalah derita,
Mungkinkah engkau pasrah, sementara yang lain marah,
Jika cintamu sejati, apapun akan terasa ringan,
Kerana apapun yang di atas tanah, asalnya tetap tanah.

Sebolehnya kita mencuba untuk melakukan sebagaimana contoh-contoh di atas, supaya kita tahu, adalah kita sudah redha pada Allah ataupun belum?

Ya Allah, kami memohon kepadamu keredhaan setelah datangnya ketetapan-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Semoga kita selalu redha kepada Allah hingga Allah meredhai kita, sehingga kita mendengar panggilan-Nya di hari kiamat kelak,

“Wahai si fulan, Aku redha padamu, maka berjalanlah dan masuklah ke dalam syurga-Ku!”.


sumber: 

http://antapermana.blogspot.com/2010/12/teladan-orang-yang-redha-atas-takdir.html

Friday, August 3, 2012

Ibadah

Assalamualaikum dan salaam 1Ummah.

Ketika kamu beribadah dalam kalangan khalayak ramai, pernah tidak terlintas di minda kamu tentang apa yang orang fikirkan terhadap segala gerak laku ibadahmu? Kamu rasa canggung, dan takut dilihat rendah, kamu perbetulkan cara solat. Gara-gara tidak mahu dilihat rencat dalam ibadat, kamu buat-buat khusyu`.

Situasi lain: kamu ternampak sebungkus plastik sampah yang penuh terampai di tengah jalan. Kamu memang berniat untuk memungutnya, namun tiba-tiba kamu ternampak orang lain. Kamu batalkan niat kerana takut dilabel "bajet baik". Ini namanya tidak murni; kerana ibadah kamu dilandaskan pada persepsi manusia. Sedang nawaitu katakan, "hanya untuk Allah".

Kadang-kadang, bisikan ini terlalu kuat untuk kita kalahkan. Kita istighfar, kita ikhtiarkan segalanya untuk mengusir hasutan nafsu itu jauh-jauh; namun tetap saja ia mencagahi diri. Alhasilnya, ibadah terjadi atas dasar sam'ah (untuk dipuji), `ujub (takjub dengan diri-sendiri) dan sebagainya. Yang ingin saya kongsi adalah beberapa tips untuk menangani permasalahan ini. Mungkin tidak berkesan untuk sesetengah orang, tetapi kita usahakan saja, mana tahu?

1. Dekatkan diri pada nafsu

Dalam falsafah, perihal nafsu paling bijak diterangkan oleh seorang bukan Muslim ialah penerangan Plato dalam bukunya 'Phaedrus'. Cuba Google 'Chariot Allegory'. Mudahnya, dia mengatakan manusia adalah seumpama sebuah pedati yang dipandu seorang kusir (pemandu) namun dikuasai dua kuda.

Katanya, kedua kuda tadi adalah nafsu yang tidak rasional dan dorongan alami yang bermoral. Kusir pula adalah aqal; atau bahagian positif jiwa yang memandu pada kebenaran. Pada pendapat saya, analogi ini bagus untuk diperhatikan.

Kalau ikut perbenturan beliau ini, jelas bahawa meskipun nafsu jahat dan membawa ke jalan kesesatan, mustahil kita boleh bergerak pada jalan kebenaran dengan melepaskan keduanya. Akal dan iman tidak patut tidak mengendahkan nafsu, tetapi wajib mengawalnya ke jalan yang benar.

Bila kamu ada penguasaan yang mantap terhadap nafsu, percayalah yang ianya akan mengurangkan tabiatnya membisikkan perkara-perkara yang mendorong kepada kecacatan ibadah, terutamanya bahagian niat.

2.Selalu bisikkan, "Aku lebih memerlukan pahala ibadah ini berbanding mereka"

Jika kamu sedang melakukan kebaikan, yakinlah bahawakamu sedang melakukan kebajikan untuk diri-sendiri, bukan orang lain. Jadi, mengapa dikisahkan pandangan orang lain? Bisikkan pada nafsu, pada jiwa dan iman, "Kamu semua perlukan pahala ibadah ini." Istighfar, dan semuanya akan berjalan murni.

Jangan diharapkan orang lain untuk melakukan ibadah untukmu. Mereka sendiripun punya keperluan peribadi terhadap itu. Dan jangan berharap diadakan majlis tahlil 7, 40 dan 100 hari yang berlawanan sunnah itu untuk membantu kamu di kubur:- "You're on your own", kata Dr Seuss.

3. Renung semula nawaitu

Dalam apapun ibadah khusus (dan sunat), rukum pertama adalah nawaitu. Sentiasa mengingatkan diri bahawa semuanya kerana Allah. Tidak untuk yang lain, kerana yang lain tidak berhak. Dan jangan lupa, Allah Maha Melihat jiwa-jiwa dan qalbu-qalbu kita. 

Malulah kepada Al-Khaliq saat terpesong sedikit tujuan dari jalanNya. Kalau kamu malu tersalah adab di rumah orang, maka mengapa tidak kamu berasa malu tersalah cara/niat di dunia milikNya ini?

Wallahu`alam fissawaab.

Sunday, July 15, 2012

Mencari Tuhan


Pasti ada hikmah.
Assalamualaikum dan salaam 1Ummah.

Orang alim selalu berkata, kalau kamu mahu meyakinkan diri akan adanya Pencipta, maka tebarkan pandangan selalu ke seluruh alam. Lihat bagaimana di sebalik ketidak teraturannya gunung-ganang, ia bebat goncangan geologi. Lihat bagaimana laut yang bergelora itu menstabilkan suhu bumi dengan aliran hydrothermal-nya yang mengunjur dari Laut Bering ke selatan Laut Pasifik. Ataupun liat gemerlap bintang tenang, yang sebenarnya suau jisim gelegak. Kamu akan menggeletar dengan kekuasaan Sang Pencipta.

Yang menulis in bukanlah alim sangat pun, masih banyak perlu ditambah dalam rutinnya. Malah, seorang pendosa. Namun itu tidak menghentikan dia dari berkongsi suatu cara yang lebih mudah untuk melihat keesaan Tuhan. Tidak perlu barang teleskop mahupun binokular. Cukup dengan mata yang Pencipta kita berikan.

Dirimu. Ya, kamu. Kamulah bukti wujudnya Tuhan.

Sedang aku menulis, aku kagum melihat sepuluh jemari boleh menari tanpa saling berlanggar, kedua belah mata boleh berkoperasi tidak berselisih, suatu set otak yang kapasitinya melebih ratusan supercomputer memikirkan ayat-ayat yang bukan sahaja berfakta, tetapi punya maksud kemanusiaan. Terpana aku dengan lidahku yang asyik membasahkan bibir dari dehidrasi,  dan telinga menangkap not-not muzik, mengakumulasinya menjadi melodi. Kamu pun sedang mendengar lagu blog ini, tidakkah kamu kagum?

Di dalam tubuh ini, biskut yang baharu ditelan sebentar tadi sedang berendam dalam larutan enzim, menunggu untuk diemulsifikasikan. Sebelum itu, ia dikunyah dan dicerna menjadi bolus, memasuki esofagus dalam gerak berirama peristalsis. Reka bentuk perut membolehkan asid pankreatik tersimpan untuk mencerakinkan protein. Dalam usus kecil, segala macam nutrien disedut masuk ke dalam tubuh. Dalam usus besar, air diserap semula.

Air yang ditelan turut menjalani proses serupa. Segenap toksik dan bahan-bahan marabahaya dibuang cekap. Dalam pada itu, di buah pinggang, ultrafiltrasi berjalan. Korteks, medula semuanya saling bekerja. Kalau enam puluh tahun kamu hidup, maka enam puluh tahunlah ia bekerja. Bahkan ketika kamu tidur. Sistem perembesan kompleks hormon antidiuretik, dibantu mekanisme homeostasis membolehkan tubuh ini tidak mati diracun garam atau bahan-bahan berbahaya yang berlebihan.

Bergerak kepada mata, proses fizik seperti pembelauan cahay yang berlaku dalam membolehkan cahaya ditangkap, diproses, disusun semula agar tidak terbalik oleh otak. Mata ini stereoskopik, boleh lihat 210 darjah bukaan. Hebat, bukan? Eh, belum cerita pasal telinga, hidung, kulit, hati. Awal-awal sudah terjemput rasa kagum.

Kalaulah ada manusia boleh menciptakan sesuaut yang hampir kepada ini, sudah tentulah dia telah lama dipuja. Namun, meskipun dengan kemajuan teknologinya, bangsa manusia masih jauh dari menciptakan sebutir sel pun. Yang mereka tahu, derivasi sel organisma lain. Jika manusia yang paling bijaksanapun tidak mampu membuat, maka apakah yang kita harapkan dari ketidaksengajaan kimia gagasan Miller-Urey itu? Perhatikan kata-kata seorang ahli kimia organik arat, Dr Charles McComb:
"The fact that chirality was missing in these amino acids (of Miller-Urey experiment) is not just a problem to be debated, it points to catastrophic failure that life cannot exist from chemicals by natural processes, given the time and space is infinite."
Kawan, ini baru cerita seorang manusia. Belum cerita ribuan bangsa lain dengan fitur-fitur anatomi berbeza. Belum ceria pasal binatang, tumbuhan dan belum cerita pasal alam semesta lagi, yang mungkin mengandung lebih banyak oragnisma. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?

Sunday, July 8, 2012

Dalam Kubur


Sudah dua hari aku terperangkap di sini. Badanku sudah mulai membiru, perut semakin kembung. Tanganku yang kejap terbebat dengan bungkusan kapan tidak mampu kugerakkan. Kebas. Aku rasa sangat tidak selesa. Panas hawa aku tidak dapat gambarkan. Ah, kalaulah penduduk dunia merasakan apa yang sedang aku rasa, pasti mereka akan pantas sujud semuanya.

Tiada apa yang mampu aku lihat melainkan kegelapan. Beberapa kali tadi, aku seperti terdengar desiran ular. Aku dapat merasa ulat sedang menggerogoti segenap tubuhku, aku dapat merasa ianya bersimpang-siur melalui segenap salur darahku. Bau darah dan daging sendiri; aku sudah semakin terbiasa. Mengalirnya nanah dan lendir yang terbit dari celahan robek daging dan kulit, memang suatu proses yang menyakitkan.

Ruang kuboid itu tidak menjanjikan apa-apa melainkan kegelapan yang melemahkan. Sadaqar Rasuulullah SAW): "Kubur itu boleh jadi pintu dari pintu-pintu syurga, ataupun lubang dari lubang-lubang neraka". Semuanya sudah terlalu lewat untuk mengangguk pada hakikat ini. Dan, gempita seluruh bumi bila kudengar hentakan yang sangat kuat. Itulah malaikat yang dijanjikan Tuhan.

Malaikat Munkar dan Nakir datang dengan belantan. Mata mereka biru; dalam dan menyilaukan. Sekali mereka menghayunkan senjata, terperosok aku ke dalam bumi. Hanyir darah yang terpercik, membasahi kain kapan, serta ngilu bekas libasan sangat menyakitkan. Dipalu sedemikian, apalah yang mampu kulakukan dalam keadaan berbalut, selain memohon restu Tuhan minta dimaafkan. Tetapi aku sedar, semuanya terlambat. Aku sedar, yang mereka berdua akan datang sekali lagi. MashaAllah, kuatkan aku sehingga kiamat datang.

Baru-baru ini, kuburku disempitkan. Saat ototku pecah dan koyak, tengkorakku rata dan rusukku bercerakah seperti bercerakahnya jemari tangan kiri dan kanan, paru-paruku dilimpahi darah; aku lemas dalam darah sendiri. Otak menggelegak. Mata sebelah kiri meletup, kuku berguguran, saat siku kiri bertembung siku kanan. Dengusan aku dalam panasnya udara di kubur; seperti aku bernafas wap gelegak dalam dandangan air. Aku hanya mampu meraung. Ya Allah, dagingku masak!

Setelah aku lunyai disiksa, aku dikembalikan keadaan asal. Kulit yang berbirat kebiruan menjadi normal semula. Ulang proses. Sakitnya tidak berkurang, dan tidak pula aku tegal biasa. Kesakitan akan sentiasa baharu. Dengan kulit baharu. Tiada penghujung kepada siksaan ini, melainkan kiamat dan siksaan neraka yang lebih menyiksakan nanti. Sabda Baginda: "Jika baik urusan di kubur, maka lebih mudahlah urusan seterusnya. Jika buruk urusan di kubur, maka lebih buruklah seterusnya."

Aku manusia yang lalai. Aku tinggalkan semuanya, aku beranggapan bahawa hidupku panjang. Yalah remaja. Mana difikirkan semua ini. Aku asyik bergembira dengan kawan dan kekasih; aku abaikan tuntutan agama demi secangkir gembira. Taubat, nanti bila sudah tua. Semua kutolak tepi, semua kuendah. Kerana hidupnya remaja adalah untuk dinikmati.
"Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!  Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!"  - Qur`an, 84:15
Sekarang baru aku sedar. Oh Tuhan, ampun ...

Monday, July 2, 2012

Ketemu

Assalamualaikum warahmatullah dan salam 1Ummah.

Kehidupan tidak pernah lekang dari kesukaran. Apalagi berhadapan dengan segala macam teknologi, sememangnya lautan dugaan semakin lebar terhampar. Tetapi bagi hamba Allah yang tenang jiwanya, tenteram hatinya dek keimanan yang tinggi terhadap janji-janji Allah, maka datangkanlah apapun, pasti diredahinya penuh tawakal.

Saya terpanggil untuk menukilkan sebuah tulisan surat seorang hamba Allah kepada kenalan rapatnya, tentang bagaimana handainya boleh selamat dari jatuh diduga. Semoga ia turut memberikan inspirasi dan panduan untuk kita semula, dalam jalan menghadapi Illahi.

"Kutuliskan surat ini, tanpa nama dan alamat dan kata-kata aluan untuk kutujukan kepada engkau. Siapapun engkau, korbankanlah sedikit masa untuk menghabisi bacaanmu. Engkau mungkin terkejut dengan apa yang ia mampu lakukan terhadapmu, saudaraku.

Pertama sekali, tahniah; tahniah kerana terpilih. Aku yakin dalam ramai-ramai yang melewati peringatan ini, lebih separuh tidak sampai di sini. Saudara, dalam hidupmu, tetapkanlah diri dan pendirianmu pada Al-Qur`an dan As-Sunnah. Ikutilah jalan yang Baginda SAW ajarkan. Jangan sekali-kali niatmu menghalalkan jalan-jalan perjuangan yang mungkar. Mana mungkin seseorang yang ingin berjemaah di surau, lalu menggunakan basikal curi ke sana, diterima amalnya.

Selain itu dalam hidup, pilihlah kawan yang baik-baik. Dalam masa yang sama, kamu juga perlu turut sama berakhlak baik dan memperjuangkan kebaikan pula. Kebaikan tidak patut diadun dengan kejahatan, dan ingatilah ini: selagi mana seseorang itu belum kautemukan kejahatan dalam dirinya, maka dia ialah orang yang baik-baik.

Ketiga dan yang utama, cari seseorang yang boleh kau sandarkan kepercayaanmu kepadanya. Yang - apabila kau mohon dia tunjukkan arah - dialah yang membukakan jalan. Ilmunya tidak semestinya perlu banyak, namun pastikan akhlaknya mulia dan imannya teguh. Peluk dia saudaraku, jadikan dia gurumu. Sesungguhnya gurulah yang harus kau dahagakan sekarang.

Keempat yang perlu kaulakukan adalah menuntut ilmu. Bukan setakat itu, kau harus sayang dan rindukannya, sebagaimana engkau merindui hirup udara yang memenuhi paru-parumu. Bacalah semua kerana tiada siapa punya masa untuk membacakannya untukmu. Bina diri, mantapkan pendirian dengan ilmu dan pengalaman, bukan sekadar cita-cita dan angan-angan.

Wah, sudah sampai kepada yang terakhir. Tahniah, saudara. Semoga Tuhan meninggikan martabatmu. Terakhir; lakukan apa yang kausuka. Jangan pernah kutukan orang membunuh minatmu. Buatlah apapun; menulis, menangis, menuntut ilmu. Wajib kau pacakkan ketaatan kepada Allah SWT sebagai tiang liburmu. Usahakan untuk tidak gagal mencerap beza kutukan dan teguran. Berbuatlah kerana Allah SWT, tetapkan batas-batas agama dalam perbuatanmu."

P/S: Semoga kita diberikan kekuatan untuk melakukan kesemua lima di atas. Berdikit dalam usaha, inshaAllah akan berjaya. Salaam.

Sunday, July 1, 2012

Tawakal


Assalamualaikum insan yang dirahmati Allah. Tahniah kerana menjadi salah seorang insan yang diketuk hatinya oleh Allah S.W.T untuk mendapat manfaat daripada penulisan ini. Semoga apa yang akan saya kongsikan sebentar nanti akan sama-sama diambil iktibar dan dikongsikan kepada insan-insan yang lain. Insyaallah. Pada kali ini, saya akan berkongsi bersama anda mengenai TAWAKAL. 


Dalam kehidupan didunia dimana ianya adalah medan ujian kita untuk menempuh hari akhirat yang kekal selamanya, kita tidak akan terlepas daripada masalah. Yang menjadi perbezaannya adalah jenis masalah yang kita hadapi. Ada orang Allah memberinya masalah untuk mencari rezeki , ada yang masalahnya tidak mendapat jodoh hingga sekarang ( anda orang itu? Hehe..) , masalah dalam pembelajaran, masalah dalam persahabatan dan lain-lain.


Apa jua masalah yang dihadapi oleh kita, ianya tidak akan selesai jika kita hanya berpeluk tubuh dan bercekak pinggang tanpa sebarang usaha. Oleh itu, selesai sahaja berusaha  maka apa yang boleh kita lakukan adalah menyerahkan segala keputusan kepada Allah S.W.T. Itulah tawakal.


Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.(Saya merahkan kerana ia adalah point yang paling penting) 


Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan.Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq:“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”


Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”


Orang yang tawakal selalu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.


Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.


Ini adalah selari dengan sifat yang pertama para sahabat Rasulullah S.A.W ada daripada enam sifat utama mereka iaitu yakin dengan kalimah Lailahaillallah dimana mereka ( para sahabat ) mengeluarkan kebesaran makhluk dalam diri mereka dan meletakkan sepenuhnya kebesaran Allah S.W.T dalam hati mereka. Mereka meletakkan sepenuh keyakinan bahawa sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah kerana Allah adalah Maha Berkuasa. 


Ubat yang kita ambil untuk mengubati penyakit merupakan usaha kita, namun tanpa izin Allah S.W.T ubat itu tidak akan menjadi asbab ( perantara ) kesembuhan kita. Oleh itu, kita perlulah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan dan bukannya ubat. Oleh itu, banyak-banyakkanlah berdoa kepada Allah S.W.T.


Disini , ingin saya kongsikan kepada anda mengenai surah Yusuf ayat ke 42 dimana maksudnya:


Bismillahirrahmanirrahim


'Dan dia ( Yusuf ) berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat diantara mereka berdua, "Terangkanlah keadaanku kepada tuanmu." Maka syaitan menjadikan dia lupa untuk menerangkan ( keadaan Yusuf ) kepada tuannya. Kerana itu dia ( Yusuf ) tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya. 


Jika kita membaca kembali mengenai kisah Nabi Yusuf, apabila Nabi Yusuf difitnah oleh Zulaika, Nabi Yusuf dimasukkan kedalam penjara. Didalam penjara, Allah S.W.T telah memberi kebolehan kepada Nabi Yusuf untuk mentafsir mimpi. Nabi Yusuf telah mentafsir mimpi dua orang pemuda tahanan dimana seorang daripada mereka akan dilepaskan dan seorang lagi akan mati disalib


Berkata Nabi Yusuf selanjutnya kepada pemuda yang diramalkan akan keluar dari penjara:” Wahai temanku, pesanku kepadamu, bila engkau telah keluar dan kembali bekerja di istana sebutlah namaku dihadapan Raja, majikanmu. Katalah kepadanya bahwa aku dipenjarakan sewenang-wenangnya, tidak berdosa dan tidak bersalah. Aku hanya dipenjara untuk kepentingan menyelamatkan nama keluarga Ketua Polis Negara dan atas anjuran isterinya belaka. Jangalah engkau lupakan pesananku ini, wahai temanku yang baik.”


Namun begitu, pesanan Nabi Yusuf kepada pemuda tahanan tersebut tidak disampaikan kepada Raja setelah ia diterima kembali bekerja di istana kerana syaitan telah menjadikannya lupa setelah ia menikmati kebebasan dari penjara. 


Wahai pembaca yang dirahmati Allah, peristiwa ini merupakan teguran Allah S.W.T kepada Nabi Yusuf kerana berharap kepada makhluk ( pemuda tahanan ) dan bukannya bertawakal kepada Allah S.W.T. Oleh itu, keranan pemuda tahanan tersebut terlupa untuk memberitahu pesanan Nabi Yusuf kepada raja, Nabi Yusuf tetap berada dalam penjara beberapa tahun lamanya. 


Para pembaca yang saya sayangi kerana Allah, dengan hanya bertawakal sahaja juga tidak akan beroleh apa-apa tanpa usaha. Didalam Surah Maryam ayat ke 25


Bismillahirrahmanirrahim,


"Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu kearahmu, niscaya ( pohon ) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu"


Selepas melahirkan Nabi Isa A.S, dalam keadaan yang sangat lemah Allah memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pohon kurma supaya kurma itu gugur dan dapat dimakannya untuk beroleh tenaga. Kajian juga mendapati bahawa kurma adalah pembekal tenaga yang baik . Wahai pembaca, bayangkanlah seorang perempuan yang baru sahaja melahirkan anak, berapa sahajalah tenaga yang ada padanya untuk mengoyangkan satu pohon kurma. Dengan goncangan yang lemah, dapatkan buah kurma jatuh ke tanah? 


Namun begitu, Allah menyuruh juga Maryam berusaha dan selanjutnya adalah menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.


Kesimpulannya, apa sahaja yang kita hadapi, letakkanlah keyakinan kita kepada Allah S.W.T sebagai keutamaan. Tanpa izin Allah S.W.T, apa yang kita rancangkan dan inginkan tidak akan menjadi. Namun begitu, kita perlulah juga berusaha untuk mencapai apa yang direncanakan.


Jika kita sudah berusaha dan bertawakal namun apa yang diidamkan tidak menjadi, jangan risau. Allah sedang merencanakan dan akan menggantikan sesuatu yang lebih baik kepada kita.  Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita

Saturday, June 23, 2012

Malaikat Yang Mencabut

Assalamualaikum wahai insan yang telah dipilih oleh Allah S.W.T dimana hatinya telah didetikkan oleh Allah S.W.T untuk membuka blog Asy-Syakirin ini. Insyaallah, saya selaku yang diberi amanah akan berusaha  untuk menyampaikan apa yang saya terbaca, peroleh secara langsung melalui ceramah dan perkongsian yang lain  untuk dikongsi bersama pembaca agar dapat sama-sama kita mengambil manfaat dan sama-sama mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.


Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani). 

Malaikat Yang Mencabut. Ini adalah surah yang ke 79 dari Al-Quran iaitu Surah An-Nazi'at dimana surah ini terdiri daripada 46 ayat. Surah ini diturunkan di Mekah dimana surah yang turunnya di Mekah banyak tertumpu mengenai akidah manakala  surah yang turunnya di Madinah adalah berkenaan dengan hukum.

Penegasan dalam surah ini adalah berkenaan dengan hari kiamat dan bagaimana sikap orang musyrik terhadap hari kiamat. Penegasan kedua adalah berkenaan dengan kisah Nabi Musa dan Firaun.

Pada permulaan surah ini, Allah S.W.T menceritakan perihal ciri-ciri malaikat pencabut nyawa iaitu malaikat Izrail.


79-1: Demi yang mencabut dengan pantas. 
79-2: Dan yang mencabut dengan perlahan-lahan. 
79-3: Dan yang beredar dengan cepat. 
79-4: Dan yang mendahului dengan laju. 
79-5: Dan yang mengatur urusan.


Malaikat Izrail adalah salah satu di antara empat pembesar malaikat yang empat selain malaikat Jibrail, Mikail dan Israfil. Dikenali malaikat maut kerana ia ditugaskan untuk mencabut nyawa makhluk-makhluk Allah SWT .Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah SWT sehingga arah barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya sebagaimana keadaan seseorang yang sedang menghadapi sebuah meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai macam makanan yang siap untuk dimakan. Ia juga boleh membolak-balikkan dunia sebagaimana kemampuan seseorang boleh membolak-balikkan wang syilling.

Seterusnya, Allah menurunkan surah ini adalah untuk memberi peringatan kepada hambanya bahawa hari akhirat itu adalah pasti. Dimana hari itu adalah hari yang sangat menakutkan bagi makhluk Allah S.W.T yang melakukan keingkaran

79-6 : Pada hari bergoncang (sesuatu) dengan goncangan. 
79-7: Diikuti oleh yang mengiringi. 
79-8: Hati pada hari itu berdebar-debar (sangat takut). 
79-9: Pandangannya akan tertunduk (ke bawah).

79-10: Mereka berkata: “Apakah kami akan dikembalikan dalam keadaan yang asal?” 
79-11: “Apakah apabila kami sudah menjadi tulang-tulang yang hancur?” 
79-12: Mereka berkata: “Jika demikian, itu adalah pengembalian yang merugikan.” 
79-13: Maka sesungguhnya ia (pengembalian itu) hanyalah dengan satu kali pekikan sahaja. 
79-14: Maka tiba-tiba mereka (berada) pada bumi yang tandus.

Allah menjadikan Firaun sebagai contoh makhluk yang ingkar kepada Allah S.W.T dengan mengkhabarkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW berkenaan Nabi Musa AS yang diutuskan kepada Firaun dengan diperkuatkan beberapa mukjizat.


79-15: Adakah sudah datang kepada engkau berita (cerita) Musa? 

Kemudian Allah SWT menjelaskan dialog antara-Nya dengan Nabi Musa a.s menerusi ayat ini dimana Allah telah memerintahkan Nabi Musa A.S untuk mengajak Firaun kepada kebenaran
.
79-17: Pergilah engkau kepada Fir’awn kerana dia telah melampaui batas. 
79-18: Maka katakan: “Mahukah kamu membersihkan diri?” 
79-19: “Dan aku pimpin kamu kepada Rab (Tuhan) kamu supaya kamu takut (kepada Allah).

Ayat-ayat di atas menggambarkan perintah Allah S.W.T  kepada Musa AS untuk berdakwah dan memberi nasihat kepada Firaun selepas jelas sifat keji dan melampaunya. Ini diharap supaya dia kembali ke pangkal jalan sebelum ditimpa azab sama ada di dunia dan di akhirat. Didalam ayat ini,  Allah juga telah mengajar cara berhadapan dengan Firaun secara lemah-lembut dan bukannya dengan kekerasan kerana ianya lebih terkesan. 

Apabila Firaun menolak dakwah Nabi Musa AS, Allah menyuruh Nabi Musa memperlihatkan mukjizat yang dimilikinya iaitu mukjizat tongkat dan mukjizat tangan yang putih melepak bagi meyakinkan dakwah yang dibawanya dari Allah SWT. 


79-20: Lalu dia (Musa) perlihatkan kepadanya (Fir’awn) ayat (mukjizat) yang besar. 

Malangnya keangkuhan Firaun menyebabkan mereka ingkar bahkan menentangnya seperti firman Allah SWT pada ayat-ayat berikutnya.

79-21: Tetapi dia (Fir’awn) mendustakan dan menderhaka. 
79-22: Kemudian dia (Fir’awn) berpaling, lalu berusaha. 
79-23: Maka dikumpulkannya dan dia (Fir’awn) berseru. 
79-24: Maka dia (Fir’awn) berkata: “Aku adalah rab (tuhan) kamu yang paling tinggi.” 

Firaun dalam rancangannya untuk menentang kebenaran dengan kebatilan yang dianutinya telah mengumpul ahli sihir serta orang ramai untuk menghadapi mukjizat Nabi Musa a.s, dan lebih malang lagi dia mendakwa sebagai Tuhan yang tertinggi. Firaun terus bongkak dan sombong sehingga dia mengejar Nabi Musa a.s dan kaumnya yang pergi menuju ke Laut Merah sewaktu keluar dari Mesir. Seterusnya, Allah SWT telah menenggelamkannya dan pengikutnya di dalam Laut Merah serta menimpakan azab sengsara kepadanya untuk dijadikan ibrah dan pengajaran bagi orang seumpamanya yang melakukan takbur dan penyelewengan di dunia. Ini dapat dilihat pada ayat dibawah,

79-25: Maka dia (Fir’awn) diseksa oleh Allah di akhirat dan di dunia. 
79-26: Sesungguhnya pada yang demikian benar-benar (menjadi) iktibar bagi orang yang takut.


Seterusnya, Allah S.W.T memperlihatkan kekuasaanya kepada kita melalui ayat dibawah. Jadi, pada siapa yang harus kita sembah? Tidak cukupkah bukti tentang kekuasaan Allah S.W.T disekeliling kita? Fikir-fikirkan.


79-27: Adakah kamu yang lebih sukar diciptakan atau (adakah) langit? Dia (Allah) yang membinanya. 
79-28: Dia (Allah) tinggikan bangunannya (langit) lalu Dia (Allah) sempurnakannya. 
79-29: Dan Dia (Allah) menggelapkan malamnya dan menerangkan siangnya. 
79-30: Dan bumi sesudah demikian itu dihamparkan-Nya (dihamparkan Allah). 
79-31: Dia (Allah) keluarkan daripadanya air dan tumbuh-tumbuhan. 
79-32: Dan gunung-gunung Dia (Allah) pacakkan. 
79-33: Bekalan bagi kamu dan ternakan kamu.

Seterusnya, didalam surah ini Allah memberikan lagi gambaran kepada kita mengenai hari akhirat melalui ayat dibawah

79-34: Maka apabila telah datang malapetaka yang besar itu. 
79-35: Pada hari yang manusia akan teringat apa yang telah diusahakannya. 
79-36: Dan diperlihatkan neraka kepada sesiapa yang melihat. 


Seterusnya, bagi mereka yang mengingkari suruhan Allah S.W.T, nerakalah tempat mereka akan menerima segala balasan atas kekejian dan kejahatan mereka di atas dunia. 


79-37: Maka adapun orang yang melanggar batas. 
79-38: Dan lebih mementingkan kehidupan dunia. 
79-39: Maka Neraka Jahim (menjadi) tempat tinggal (mereka). 


Bagi mereka yang sentiasa takutkan Allah dengan menghalang diri dari melanggar suruhan Allah S.W.T, keindahan, ketenangan, kegembiraan syurga akan diberikan selama-lamanya. Semoga kita tergolong dalam golongan ini. Insyaallah.


79-40: Dan orang yang takutkan kebesaran Rab (Tuhan)nya dan menahan diri daripada hawa nafsu. 
79-41: Maka jannah (taman/syurga) tempat kembali (mereka).

Seterusnya, Allah berfirman lagi tatkala kaum Nabi Muhammad S.A.W bertanyakan tentang hari kiamat.


79-42: Mereka bertanya kepada engkau tentang saat (kiamat), bilakah akan berlaku? 
79-43: Mengapa engkau pula yang akan menyebutkan (waktunya)? 
79-44: Kepada Rab (Tuhan) engkau penghabisannya. 
79-45: Sesungguhnya engkau hanyalah pemberi peringatan kepada orang yang takut kepadanya (hari kiamat). 
79-46: Pada hari mereka melihatnya (hari kiamat), mereka (merasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) kecuali satu malam sahaja atau satu siang. 


Kesimpulannya,

* Allah S.W.T menyarankan kita memberikan teguran secara berhikmah dan lemah lembut kepada pembuat kemungkaran kerana teguran seperti ini ternyata lebih berkesan. Kekerasan dalam berdakwah tidak akan dapat diresapi nikmatnya kepada hati yang jahil, bahkan menjauhkan dirinya lagi dari kebenaran yang nyata.

* Orang yang fasik ( selalu membuat kemungkaran dan melakukan larangan Allah ) adalah orang yang mudah diporak-porandakan hidupnya oleh orang lain. Sepertimana yang kita lihat disekeliling kita, orang-orang yang fasik kehidupannya mudah dipengaruhi oleh budaya-budaya yang amat tidak enak untuk diceritakan bahkan dilihat sendiri oleh mata kita. Punk, skinhead bahkan mereka juga mudah didekati dengan ajaran-ajaran yang jauh sekali berlandaskan apa yang Islam anjurkan. Nauzubillah, semoga Allah S.W.T jauhkan kita daripada golongan ini.

* Seseorang pemimpin atau manusia itu tidak akan berasa megah dengan keingkarannya sekiranya tiada orang yang menyokong sekaligus membantunya melakukan sesuatu kemungkaran. Begitulah yang dapat dilihat pada Firaun, Dia mungkin tidak akan mengaku sebagai tuhan sekiranya terdapat tentangan daripada rakyatnya. Bahkan, sokongan ketaatan daripada mereka menjadikan Firaun berasa sangat bongkak untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Musa A.S

* Hari kiamat adalah pasti . Hamba Allah tidak seharusnya menyoalkan bilakah akan datangnya hari kiamat, sebaliknya perlulah membuat persediaan untuk menghadapinya.

Wednesday, April 25, 2012

Nyanyian Sepi


Tinggallah namamu tinggalkan cintamu
Tinggalkan segala yang di punya di atas dunia
Hanyalah dirimu hanyalah amalmu
Hanyalah sepimu menemani kesunyian di alam kuburmu

Terngiang-ngiang alunan nasyid Nyanyian Sepi dendangan Opick  tatkala jari mulai menaip satu persatu aksara didalam artikel ini. KEMATIAN, satu perkataan yang pastinya semua manusia yang hidup didunia ini tidak mahu menghadapinya. Tidak kiralah samada kematian orang yang disayangi ataupun KEMATIAN DIRI SENDIRI.

Setiap detik, pasti ada orang yang meninggal dunia dan setiap detik jugalah ada bayi yang  akan dilahirkan. Begitulah lumrah didunia. Yang hidup pasti akan mati dan kekosongan itu pastinya akan diganti.  

Wahai sahabat, dunia ini kita boleh umpamakan sebagai sebatang pohon dimana kita, sang musafir jadikan tempat untuk menumpang berteduh. Selesai sahaja urusan, kita akan menuju ke destinasi selanjutnya iaitu alam kubur. 

Di alam barzakh, kita sendiri tidak akan dapat mengetahui bagaimana nasib kita kelak. Adakah kita akan mendapat kenikmatan ataupun kesengsaraan. Adakah kita akan disiksa atau Allah akan melapangkan kubur kita selapang-lapangnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Sayyid Ahmad Al-Rifa’i pernah berkata: 


“ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Umar bin Abdul Aziz pernah  berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.

Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang  telah bersurai kecuali  beliau dan beberapa orang sahabatnya yang  masih tidak berganjak dari kubur tersebut.  Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: “ Ya,  sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang.  Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada  jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.

Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.

Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku.  Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.

Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat
Maka dia tidak akan di balas melainkan sebanding dengan kejahatan itu
Dan barang siapa mengerjakan amal yang soleh baik laki-laki maupun perempuan
Sedang ia dalam keadaan beriman maka mereka akan masuk surga
Mereka di beri rizki di dalamnya tanpa hisab

Alunan lagu opick sekali lagi menerpa ke telinga. Mendengarnya, membuatku terfikir masih punya peluangkah diriku untuk memasuki syurga tanpa dihisab. Ya Allah, kerdilnya diri ini. 

Saudaraku sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku lembutkannya dan rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:

Pertama-
Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang membaca al-Quran  adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.

Kedua- 
Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.

Ketiga – 
Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan  juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.

Keempat-
Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.

Kelima-
Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah  cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. 


 Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”.  (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta,  pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.

Tiada bisa manusia mengulur sang waktu
Bila tiba masa datang maut menjemputmu
Semua yang di mata semua yang cinta
Semua yang di bangga akan hilang akan sirna


Lalu lagu Opick berdendang hingga ke akhirnya. Udara nyaman memasuki rongga-rongga pernafasanku. Ya Allah, terima kasih atas nikmat yang kau beri ini. Jika sampai waktu udara ini tidak kuterima lagi, tatkala roh sudah berpisah dari jasad, tempatkanku dikalangan orang-orang yang engkau cintai. Amin.... 
p/s : Sebahagian nota yang diperoleh dari artikel ini didapati dari sumber bacaan sendiri untuk dikongsi bersama agar dapat sama-sama kita mengambil kebaikan darinya