Sunday, July 1, 2012
Tawakal
Assalamualaikum insan yang dirahmati Allah. Tahniah kerana menjadi salah seorang insan yang diketuk hatinya oleh Allah S.W.T untuk mendapat manfaat daripada penulisan ini. Semoga apa yang akan saya kongsikan sebentar nanti akan sama-sama diambil iktibar dan dikongsikan kepada insan-insan yang lain. Insyaallah. Pada kali ini, saya akan berkongsi bersama anda mengenai TAWAKAL.
Dalam kehidupan didunia dimana ianya adalah medan ujian kita untuk menempuh hari akhirat yang kekal selamanya, kita tidak akan terlepas daripada masalah. Yang menjadi perbezaannya adalah jenis masalah yang kita hadapi. Ada orang Allah memberinya masalah untuk mencari rezeki , ada yang masalahnya tidak mendapat jodoh hingga sekarang ( anda orang itu? Hehe..) , masalah dalam pembelajaran, masalah dalam persahabatan dan lain-lain.
Apa jua masalah yang dihadapi oleh kita, ianya tidak akan selesai jika kita hanya berpeluk tubuh dan bercekak pinggang tanpa sebarang usaha. Oleh itu, selesai sahaja berusaha maka apa yang boleh kita lakukan adalah menyerahkan segala keputusan kepada Allah S.W.T. Itulah tawakal.
Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.(Saya merahkan kerana ia adalah point yang paling penting)
Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan.Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq:“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”
Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”
Orang yang tawakal selalu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.
Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.
Ini adalah selari dengan sifat yang pertama para sahabat Rasulullah S.A.W ada daripada enam sifat utama mereka iaitu yakin dengan kalimah Lailahaillallah dimana mereka ( para sahabat ) mengeluarkan kebesaran makhluk dalam diri mereka dan meletakkan sepenuhnya kebesaran Allah S.W.T dalam hati mereka. Mereka meletakkan sepenuh keyakinan bahawa sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah kerana Allah adalah Maha Berkuasa.
Ubat yang kita ambil untuk mengubati penyakit merupakan usaha kita, namun tanpa izin Allah S.W.T ubat itu tidak akan menjadi asbab ( perantara ) kesembuhan kita. Oleh itu, kita perlulah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan dan bukannya ubat. Oleh itu, banyak-banyakkanlah berdoa kepada Allah S.W.T.
Disini , ingin saya kongsikan kepada anda mengenai surah Yusuf ayat ke 42 dimana maksudnya:
Bismillahirrahmanirrahim
'Dan dia ( Yusuf ) berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat diantara mereka berdua, "Terangkanlah keadaanku kepada tuanmu." Maka syaitan menjadikan dia lupa untuk menerangkan ( keadaan Yusuf ) kepada tuannya. Kerana itu dia ( Yusuf ) tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya.
Jika kita membaca kembali mengenai kisah Nabi Yusuf, apabila Nabi Yusuf difitnah oleh Zulaika, Nabi Yusuf dimasukkan kedalam penjara. Didalam penjara, Allah S.W.T telah memberi kebolehan kepada Nabi Yusuf untuk mentafsir mimpi. Nabi Yusuf telah mentafsir mimpi dua orang pemuda tahanan dimana seorang daripada mereka akan dilepaskan dan seorang lagi akan mati disalib
Berkata Nabi Yusuf selanjutnya kepada pemuda yang diramalkan akan keluar dari penjara:” Wahai temanku, pesanku kepadamu, bila engkau telah keluar dan kembali bekerja di istana sebutlah namaku dihadapan Raja, majikanmu. Katalah kepadanya bahwa aku dipenjarakan sewenang-wenangnya, tidak berdosa dan tidak bersalah. Aku hanya dipenjara untuk kepentingan menyelamatkan nama keluarga Ketua Polis Negara dan atas anjuran isterinya belaka. Jangalah engkau lupakan pesananku ini, wahai temanku yang baik.”
Namun begitu, pesanan Nabi Yusuf kepada pemuda tahanan tersebut tidak disampaikan kepada Raja setelah ia diterima kembali bekerja di istana kerana syaitan telah menjadikannya lupa setelah ia menikmati kebebasan dari penjara.
Wahai pembaca yang dirahmati Allah, peristiwa ini merupakan teguran Allah S.W.T kepada Nabi Yusuf kerana berharap kepada makhluk ( pemuda tahanan ) dan bukannya bertawakal kepada Allah S.W.T. Oleh itu, keranan pemuda tahanan tersebut terlupa untuk memberitahu pesanan Nabi Yusuf kepada raja, Nabi Yusuf tetap berada dalam penjara beberapa tahun lamanya.
Para pembaca yang saya sayangi kerana Allah, dengan hanya bertawakal sahaja juga tidak akan beroleh apa-apa tanpa usaha. Didalam Surah Maryam ayat ke 25
Bismillahirrahmanirrahim,
"Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu kearahmu, niscaya ( pohon ) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu"
Selepas melahirkan Nabi Isa A.S, dalam keadaan yang sangat lemah Allah memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pohon kurma supaya kurma itu gugur dan dapat dimakannya untuk beroleh tenaga. Kajian juga mendapati bahawa kurma adalah pembekal tenaga yang baik . Wahai pembaca, bayangkanlah seorang perempuan yang baru sahaja melahirkan anak, berapa sahajalah tenaga yang ada padanya untuk mengoyangkan satu pohon kurma. Dengan goncangan yang lemah, dapatkan buah kurma jatuh ke tanah?
Namun begitu, Allah menyuruh juga Maryam berusaha dan selanjutnya adalah menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.
Kesimpulannya, apa sahaja yang kita hadapi, letakkanlah keyakinan kita kepada Allah S.W.T sebagai keutamaan. Tanpa izin Allah S.W.T, apa yang kita rancangkan dan inginkan tidak akan menjadi. Namun begitu, kita perlulah juga berusaha untuk mencapai apa yang direncanakan.
Jika kita sudah berusaha dan bertawakal namun apa yang diidamkan tidak menjadi, jangan risau. Allah sedang merencanakan dan akan menggantikan sesuatu yang lebih baik kepada kita. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tersentuh sangat baca penulisan ini. Subhanallah, berapa kali sangat saja aku ingat Dia?
ReplyDeleteTerima kasih, penulis. Dan tahniah. Tuhan berikan kamu kelebihan yang sangat dahsyat.
Kita hamba Allah yang bukan maksum dimana iman kita ada naik dan turunnya. Insyaallah, sama-sama kita menunaikan suruhan Allah tanda kita sentiasa mengingatiNYA. Terima kasih atas ucapan tahniah, saya sekadar berkongsi mengenai ilmu yang saya dapat melalui usrah yang saya ikuti dan pembacaan. Yang baik datangnya dari Allah S.W.T manakala yang buruk itu atas khilaf diri ini. Semoga artikel ini dapat memberi manfaat kepada anda.
ReplyDelete