Monday, July 2, 2012

Ketemu

Assalamualaikum warahmatullah dan salam 1Ummah.

Kehidupan tidak pernah lekang dari kesukaran. Apalagi berhadapan dengan segala macam teknologi, sememangnya lautan dugaan semakin lebar terhampar. Tetapi bagi hamba Allah yang tenang jiwanya, tenteram hatinya dek keimanan yang tinggi terhadap janji-janji Allah, maka datangkanlah apapun, pasti diredahinya penuh tawakal.

Saya terpanggil untuk menukilkan sebuah tulisan surat seorang hamba Allah kepada kenalan rapatnya, tentang bagaimana handainya boleh selamat dari jatuh diduga. Semoga ia turut memberikan inspirasi dan panduan untuk kita semula, dalam jalan menghadapi Illahi.

"Kutuliskan surat ini, tanpa nama dan alamat dan kata-kata aluan untuk kutujukan kepada engkau. Siapapun engkau, korbankanlah sedikit masa untuk menghabisi bacaanmu. Engkau mungkin terkejut dengan apa yang ia mampu lakukan terhadapmu, saudaraku.

Pertama sekali, tahniah; tahniah kerana terpilih. Aku yakin dalam ramai-ramai yang melewati peringatan ini, lebih separuh tidak sampai di sini. Saudara, dalam hidupmu, tetapkanlah diri dan pendirianmu pada Al-Qur`an dan As-Sunnah. Ikutilah jalan yang Baginda SAW ajarkan. Jangan sekali-kali niatmu menghalalkan jalan-jalan perjuangan yang mungkar. Mana mungkin seseorang yang ingin berjemaah di surau, lalu menggunakan basikal curi ke sana, diterima amalnya.

Selain itu dalam hidup, pilihlah kawan yang baik-baik. Dalam masa yang sama, kamu juga perlu turut sama berakhlak baik dan memperjuangkan kebaikan pula. Kebaikan tidak patut diadun dengan kejahatan, dan ingatilah ini: selagi mana seseorang itu belum kautemukan kejahatan dalam dirinya, maka dia ialah orang yang baik-baik.

Ketiga dan yang utama, cari seseorang yang boleh kau sandarkan kepercayaanmu kepadanya. Yang - apabila kau mohon dia tunjukkan arah - dialah yang membukakan jalan. Ilmunya tidak semestinya perlu banyak, namun pastikan akhlaknya mulia dan imannya teguh. Peluk dia saudaraku, jadikan dia gurumu. Sesungguhnya gurulah yang harus kau dahagakan sekarang.

Keempat yang perlu kaulakukan adalah menuntut ilmu. Bukan setakat itu, kau harus sayang dan rindukannya, sebagaimana engkau merindui hirup udara yang memenuhi paru-parumu. Bacalah semua kerana tiada siapa punya masa untuk membacakannya untukmu. Bina diri, mantapkan pendirian dengan ilmu dan pengalaman, bukan sekadar cita-cita dan angan-angan.

Wah, sudah sampai kepada yang terakhir. Tahniah, saudara. Semoga Tuhan meninggikan martabatmu. Terakhir; lakukan apa yang kausuka. Jangan pernah kutukan orang membunuh minatmu. Buatlah apapun; menulis, menangis, menuntut ilmu. Wajib kau pacakkan ketaatan kepada Allah SWT sebagai tiang liburmu. Usahakan untuk tidak gagal mencerap beza kutukan dan teguran. Berbuatlah kerana Allah SWT, tetapkan batas-batas agama dalam perbuatanmu."

P/S: Semoga kita diberikan kekuatan untuk melakukan kesemua lima di atas. Berdikit dalam usaha, inshaAllah akan berjaya. Salaam.

No comments:

Post a Comment