Sunday, July 8, 2012

Dalam Kubur


Sudah dua hari aku terperangkap di sini. Badanku sudah mulai membiru, perut semakin kembung. Tanganku yang kejap terbebat dengan bungkusan kapan tidak mampu kugerakkan. Kebas. Aku rasa sangat tidak selesa. Panas hawa aku tidak dapat gambarkan. Ah, kalaulah penduduk dunia merasakan apa yang sedang aku rasa, pasti mereka akan pantas sujud semuanya.

Tiada apa yang mampu aku lihat melainkan kegelapan. Beberapa kali tadi, aku seperti terdengar desiran ular. Aku dapat merasa ulat sedang menggerogoti segenap tubuhku, aku dapat merasa ianya bersimpang-siur melalui segenap salur darahku. Bau darah dan daging sendiri; aku sudah semakin terbiasa. Mengalirnya nanah dan lendir yang terbit dari celahan robek daging dan kulit, memang suatu proses yang menyakitkan.

Ruang kuboid itu tidak menjanjikan apa-apa melainkan kegelapan yang melemahkan. Sadaqar Rasuulullah SAW): "Kubur itu boleh jadi pintu dari pintu-pintu syurga, ataupun lubang dari lubang-lubang neraka". Semuanya sudah terlalu lewat untuk mengangguk pada hakikat ini. Dan, gempita seluruh bumi bila kudengar hentakan yang sangat kuat. Itulah malaikat yang dijanjikan Tuhan.

Malaikat Munkar dan Nakir datang dengan belantan. Mata mereka biru; dalam dan menyilaukan. Sekali mereka menghayunkan senjata, terperosok aku ke dalam bumi. Hanyir darah yang terpercik, membasahi kain kapan, serta ngilu bekas libasan sangat menyakitkan. Dipalu sedemikian, apalah yang mampu kulakukan dalam keadaan berbalut, selain memohon restu Tuhan minta dimaafkan. Tetapi aku sedar, semuanya terlambat. Aku sedar, yang mereka berdua akan datang sekali lagi. MashaAllah, kuatkan aku sehingga kiamat datang.

Baru-baru ini, kuburku disempitkan. Saat ototku pecah dan koyak, tengkorakku rata dan rusukku bercerakah seperti bercerakahnya jemari tangan kiri dan kanan, paru-paruku dilimpahi darah; aku lemas dalam darah sendiri. Otak menggelegak. Mata sebelah kiri meletup, kuku berguguran, saat siku kiri bertembung siku kanan. Dengusan aku dalam panasnya udara di kubur; seperti aku bernafas wap gelegak dalam dandangan air. Aku hanya mampu meraung. Ya Allah, dagingku masak!

Setelah aku lunyai disiksa, aku dikembalikan keadaan asal. Kulit yang berbirat kebiruan menjadi normal semula. Ulang proses. Sakitnya tidak berkurang, dan tidak pula aku tegal biasa. Kesakitan akan sentiasa baharu. Dengan kulit baharu. Tiada penghujung kepada siksaan ini, melainkan kiamat dan siksaan neraka yang lebih menyiksakan nanti. Sabda Baginda: "Jika baik urusan di kubur, maka lebih mudahlah urusan seterusnya. Jika buruk urusan di kubur, maka lebih buruklah seterusnya."

Aku manusia yang lalai. Aku tinggalkan semuanya, aku beranggapan bahawa hidupku panjang. Yalah remaja. Mana difikirkan semua ini. Aku asyik bergembira dengan kawan dan kekasih; aku abaikan tuntutan agama demi secangkir gembira. Taubat, nanti bila sudah tua. Semua kutolak tepi, semua kuendah. Kerana hidupnya remaja adalah untuk dinikmati.
"Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!  Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!"  - Qur`an, 84:15
Sekarang baru aku sedar. Oh Tuhan, ampun ...

No comments:

Post a Comment