Sunday, July 15, 2012

Mencari Tuhan


Pasti ada hikmah.
Assalamualaikum dan salaam 1Ummah.

Orang alim selalu berkata, kalau kamu mahu meyakinkan diri akan adanya Pencipta, maka tebarkan pandangan selalu ke seluruh alam. Lihat bagaimana di sebalik ketidak teraturannya gunung-ganang, ia bebat goncangan geologi. Lihat bagaimana laut yang bergelora itu menstabilkan suhu bumi dengan aliran hydrothermal-nya yang mengunjur dari Laut Bering ke selatan Laut Pasifik. Ataupun liat gemerlap bintang tenang, yang sebenarnya suau jisim gelegak. Kamu akan menggeletar dengan kekuasaan Sang Pencipta.

Yang menulis in bukanlah alim sangat pun, masih banyak perlu ditambah dalam rutinnya. Malah, seorang pendosa. Namun itu tidak menghentikan dia dari berkongsi suatu cara yang lebih mudah untuk melihat keesaan Tuhan. Tidak perlu barang teleskop mahupun binokular. Cukup dengan mata yang Pencipta kita berikan.

Dirimu. Ya, kamu. Kamulah bukti wujudnya Tuhan.

Sedang aku menulis, aku kagum melihat sepuluh jemari boleh menari tanpa saling berlanggar, kedua belah mata boleh berkoperasi tidak berselisih, suatu set otak yang kapasitinya melebih ratusan supercomputer memikirkan ayat-ayat yang bukan sahaja berfakta, tetapi punya maksud kemanusiaan. Terpana aku dengan lidahku yang asyik membasahkan bibir dari dehidrasi,  dan telinga menangkap not-not muzik, mengakumulasinya menjadi melodi. Kamu pun sedang mendengar lagu blog ini, tidakkah kamu kagum?

Di dalam tubuh ini, biskut yang baharu ditelan sebentar tadi sedang berendam dalam larutan enzim, menunggu untuk diemulsifikasikan. Sebelum itu, ia dikunyah dan dicerna menjadi bolus, memasuki esofagus dalam gerak berirama peristalsis. Reka bentuk perut membolehkan asid pankreatik tersimpan untuk mencerakinkan protein. Dalam usus kecil, segala macam nutrien disedut masuk ke dalam tubuh. Dalam usus besar, air diserap semula.

Air yang ditelan turut menjalani proses serupa. Segenap toksik dan bahan-bahan marabahaya dibuang cekap. Dalam pada itu, di buah pinggang, ultrafiltrasi berjalan. Korteks, medula semuanya saling bekerja. Kalau enam puluh tahun kamu hidup, maka enam puluh tahunlah ia bekerja. Bahkan ketika kamu tidur. Sistem perembesan kompleks hormon antidiuretik, dibantu mekanisme homeostasis membolehkan tubuh ini tidak mati diracun garam atau bahan-bahan berbahaya yang berlebihan.

Bergerak kepada mata, proses fizik seperti pembelauan cahay yang berlaku dalam membolehkan cahaya ditangkap, diproses, disusun semula agar tidak terbalik oleh otak. Mata ini stereoskopik, boleh lihat 210 darjah bukaan. Hebat, bukan? Eh, belum cerita pasal telinga, hidung, kulit, hati. Awal-awal sudah terjemput rasa kagum.

Kalaulah ada manusia boleh menciptakan sesuaut yang hampir kepada ini, sudah tentulah dia telah lama dipuja. Namun, meskipun dengan kemajuan teknologinya, bangsa manusia masih jauh dari menciptakan sebutir sel pun. Yang mereka tahu, derivasi sel organisma lain. Jika manusia yang paling bijaksanapun tidak mampu membuat, maka apakah yang kita harapkan dari ketidaksengajaan kimia gagasan Miller-Urey itu? Perhatikan kata-kata seorang ahli kimia organik arat, Dr Charles McComb:
"The fact that chirality was missing in these amino acids (of Miller-Urey experiment) is not just a problem to be debated, it points to catastrophic failure that life cannot exist from chemicals by natural processes, given the time and space is infinite."
Kawan, ini baru cerita seorang manusia. Belum cerita ribuan bangsa lain dengan fitur-fitur anatomi berbeza. Belum ceria pasal binatang, tumbuhan dan belum cerita pasal alam semesta lagi, yang mungkin mengandung lebih banyak oragnisma. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?

Sunday, July 8, 2012

Dalam Kubur


Sudah dua hari aku terperangkap di sini. Badanku sudah mulai membiru, perut semakin kembung. Tanganku yang kejap terbebat dengan bungkusan kapan tidak mampu kugerakkan. Kebas. Aku rasa sangat tidak selesa. Panas hawa aku tidak dapat gambarkan. Ah, kalaulah penduduk dunia merasakan apa yang sedang aku rasa, pasti mereka akan pantas sujud semuanya.

Tiada apa yang mampu aku lihat melainkan kegelapan. Beberapa kali tadi, aku seperti terdengar desiran ular. Aku dapat merasa ulat sedang menggerogoti segenap tubuhku, aku dapat merasa ianya bersimpang-siur melalui segenap salur darahku. Bau darah dan daging sendiri; aku sudah semakin terbiasa. Mengalirnya nanah dan lendir yang terbit dari celahan robek daging dan kulit, memang suatu proses yang menyakitkan.

Ruang kuboid itu tidak menjanjikan apa-apa melainkan kegelapan yang melemahkan. Sadaqar Rasuulullah SAW): "Kubur itu boleh jadi pintu dari pintu-pintu syurga, ataupun lubang dari lubang-lubang neraka". Semuanya sudah terlalu lewat untuk mengangguk pada hakikat ini. Dan, gempita seluruh bumi bila kudengar hentakan yang sangat kuat. Itulah malaikat yang dijanjikan Tuhan.

Malaikat Munkar dan Nakir datang dengan belantan. Mata mereka biru; dalam dan menyilaukan. Sekali mereka menghayunkan senjata, terperosok aku ke dalam bumi. Hanyir darah yang terpercik, membasahi kain kapan, serta ngilu bekas libasan sangat menyakitkan. Dipalu sedemikian, apalah yang mampu kulakukan dalam keadaan berbalut, selain memohon restu Tuhan minta dimaafkan. Tetapi aku sedar, semuanya terlambat. Aku sedar, yang mereka berdua akan datang sekali lagi. MashaAllah, kuatkan aku sehingga kiamat datang.

Baru-baru ini, kuburku disempitkan. Saat ototku pecah dan koyak, tengkorakku rata dan rusukku bercerakah seperti bercerakahnya jemari tangan kiri dan kanan, paru-paruku dilimpahi darah; aku lemas dalam darah sendiri. Otak menggelegak. Mata sebelah kiri meletup, kuku berguguran, saat siku kiri bertembung siku kanan. Dengusan aku dalam panasnya udara di kubur; seperti aku bernafas wap gelegak dalam dandangan air. Aku hanya mampu meraung. Ya Allah, dagingku masak!

Setelah aku lunyai disiksa, aku dikembalikan keadaan asal. Kulit yang berbirat kebiruan menjadi normal semula. Ulang proses. Sakitnya tidak berkurang, dan tidak pula aku tegal biasa. Kesakitan akan sentiasa baharu. Dengan kulit baharu. Tiada penghujung kepada siksaan ini, melainkan kiamat dan siksaan neraka yang lebih menyiksakan nanti. Sabda Baginda: "Jika baik urusan di kubur, maka lebih mudahlah urusan seterusnya. Jika buruk urusan di kubur, maka lebih buruklah seterusnya."

Aku manusia yang lalai. Aku tinggalkan semuanya, aku beranggapan bahawa hidupku panjang. Yalah remaja. Mana difikirkan semua ini. Aku asyik bergembira dengan kawan dan kekasih; aku abaikan tuntutan agama demi secangkir gembira. Taubat, nanti bila sudah tua. Semua kutolak tepi, semua kuendah. Kerana hidupnya remaja adalah untuk dinikmati.
"Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!  Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!"  - Qur`an, 84:15
Sekarang baru aku sedar. Oh Tuhan, ampun ...

Monday, July 2, 2012

Ketemu

Assalamualaikum warahmatullah dan salam 1Ummah.

Kehidupan tidak pernah lekang dari kesukaran. Apalagi berhadapan dengan segala macam teknologi, sememangnya lautan dugaan semakin lebar terhampar. Tetapi bagi hamba Allah yang tenang jiwanya, tenteram hatinya dek keimanan yang tinggi terhadap janji-janji Allah, maka datangkanlah apapun, pasti diredahinya penuh tawakal.

Saya terpanggil untuk menukilkan sebuah tulisan surat seorang hamba Allah kepada kenalan rapatnya, tentang bagaimana handainya boleh selamat dari jatuh diduga. Semoga ia turut memberikan inspirasi dan panduan untuk kita semula, dalam jalan menghadapi Illahi.

"Kutuliskan surat ini, tanpa nama dan alamat dan kata-kata aluan untuk kutujukan kepada engkau. Siapapun engkau, korbankanlah sedikit masa untuk menghabisi bacaanmu. Engkau mungkin terkejut dengan apa yang ia mampu lakukan terhadapmu, saudaraku.

Pertama sekali, tahniah; tahniah kerana terpilih. Aku yakin dalam ramai-ramai yang melewati peringatan ini, lebih separuh tidak sampai di sini. Saudara, dalam hidupmu, tetapkanlah diri dan pendirianmu pada Al-Qur`an dan As-Sunnah. Ikutilah jalan yang Baginda SAW ajarkan. Jangan sekali-kali niatmu menghalalkan jalan-jalan perjuangan yang mungkar. Mana mungkin seseorang yang ingin berjemaah di surau, lalu menggunakan basikal curi ke sana, diterima amalnya.

Selain itu dalam hidup, pilihlah kawan yang baik-baik. Dalam masa yang sama, kamu juga perlu turut sama berakhlak baik dan memperjuangkan kebaikan pula. Kebaikan tidak patut diadun dengan kejahatan, dan ingatilah ini: selagi mana seseorang itu belum kautemukan kejahatan dalam dirinya, maka dia ialah orang yang baik-baik.

Ketiga dan yang utama, cari seseorang yang boleh kau sandarkan kepercayaanmu kepadanya. Yang - apabila kau mohon dia tunjukkan arah - dialah yang membukakan jalan. Ilmunya tidak semestinya perlu banyak, namun pastikan akhlaknya mulia dan imannya teguh. Peluk dia saudaraku, jadikan dia gurumu. Sesungguhnya gurulah yang harus kau dahagakan sekarang.

Keempat yang perlu kaulakukan adalah menuntut ilmu. Bukan setakat itu, kau harus sayang dan rindukannya, sebagaimana engkau merindui hirup udara yang memenuhi paru-parumu. Bacalah semua kerana tiada siapa punya masa untuk membacakannya untukmu. Bina diri, mantapkan pendirian dengan ilmu dan pengalaman, bukan sekadar cita-cita dan angan-angan.

Wah, sudah sampai kepada yang terakhir. Tahniah, saudara. Semoga Tuhan meninggikan martabatmu. Terakhir; lakukan apa yang kausuka. Jangan pernah kutukan orang membunuh minatmu. Buatlah apapun; menulis, menangis, menuntut ilmu. Wajib kau pacakkan ketaatan kepada Allah SWT sebagai tiang liburmu. Usahakan untuk tidak gagal mencerap beza kutukan dan teguran. Berbuatlah kerana Allah SWT, tetapkan batas-batas agama dalam perbuatanmu."

P/S: Semoga kita diberikan kekuatan untuk melakukan kesemua lima di atas. Berdikit dalam usaha, inshaAllah akan berjaya. Salaam.

Sunday, July 1, 2012

Tawakal


Assalamualaikum insan yang dirahmati Allah. Tahniah kerana menjadi salah seorang insan yang diketuk hatinya oleh Allah S.W.T untuk mendapat manfaat daripada penulisan ini. Semoga apa yang akan saya kongsikan sebentar nanti akan sama-sama diambil iktibar dan dikongsikan kepada insan-insan yang lain. Insyaallah. Pada kali ini, saya akan berkongsi bersama anda mengenai TAWAKAL. 


Dalam kehidupan didunia dimana ianya adalah medan ujian kita untuk menempuh hari akhirat yang kekal selamanya, kita tidak akan terlepas daripada masalah. Yang menjadi perbezaannya adalah jenis masalah yang kita hadapi. Ada orang Allah memberinya masalah untuk mencari rezeki , ada yang masalahnya tidak mendapat jodoh hingga sekarang ( anda orang itu? Hehe..) , masalah dalam pembelajaran, masalah dalam persahabatan dan lain-lain.


Apa jua masalah yang dihadapi oleh kita, ianya tidak akan selesai jika kita hanya berpeluk tubuh dan bercekak pinggang tanpa sebarang usaha. Oleh itu, selesai sahaja berusaha  maka apa yang boleh kita lakukan adalah menyerahkan segala keputusan kepada Allah S.W.T. Itulah tawakal.


Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.(Saya merahkan kerana ia adalah point yang paling penting) 


Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan.Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq:“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”


Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”


Orang yang tawakal selalu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.


Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.


Ini adalah selari dengan sifat yang pertama para sahabat Rasulullah S.A.W ada daripada enam sifat utama mereka iaitu yakin dengan kalimah Lailahaillallah dimana mereka ( para sahabat ) mengeluarkan kebesaran makhluk dalam diri mereka dan meletakkan sepenuhnya kebesaran Allah S.W.T dalam hati mereka. Mereka meletakkan sepenuh keyakinan bahawa sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah kerana Allah adalah Maha Berkuasa. 


Ubat yang kita ambil untuk mengubati penyakit merupakan usaha kita, namun tanpa izin Allah S.W.T ubat itu tidak akan menjadi asbab ( perantara ) kesembuhan kita. Oleh itu, kita perlulah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan dan bukannya ubat. Oleh itu, banyak-banyakkanlah berdoa kepada Allah S.W.T.


Disini , ingin saya kongsikan kepada anda mengenai surah Yusuf ayat ke 42 dimana maksudnya:


Bismillahirrahmanirrahim


'Dan dia ( Yusuf ) berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat diantara mereka berdua, "Terangkanlah keadaanku kepada tuanmu." Maka syaitan menjadikan dia lupa untuk menerangkan ( keadaan Yusuf ) kepada tuannya. Kerana itu dia ( Yusuf ) tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya. 


Jika kita membaca kembali mengenai kisah Nabi Yusuf, apabila Nabi Yusuf difitnah oleh Zulaika, Nabi Yusuf dimasukkan kedalam penjara. Didalam penjara, Allah S.W.T telah memberi kebolehan kepada Nabi Yusuf untuk mentafsir mimpi. Nabi Yusuf telah mentafsir mimpi dua orang pemuda tahanan dimana seorang daripada mereka akan dilepaskan dan seorang lagi akan mati disalib


Berkata Nabi Yusuf selanjutnya kepada pemuda yang diramalkan akan keluar dari penjara:” Wahai temanku, pesanku kepadamu, bila engkau telah keluar dan kembali bekerja di istana sebutlah namaku dihadapan Raja, majikanmu. Katalah kepadanya bahwa aku dipenjarakan sewenang-wenangnya, tidak berdosa dan tidak bersalah. Aku hanya dipenjara untuk kepentingan menyelamatkan nama keluarga Ketua Polis Negara dan atas anjuran isterinya belaka. Jangalah engkau lupakan pesananku ini, wahai temanku yang baik.”


Namun begitu, pesanan Nabi Yusuf kepada pemuda tahanan tersebut tidak disampaikan kepada Raja setelah ia diterima kembali bekerja di istana kerana syaitan telah menjadikannya lupa setelah ia menikmati kebebasan dari penjara. 


Wahai pembaca yang dirahmati Allah, peristiwa ini merupakan teguran Allah S.W.T kepada Nabi Yusuf kerana berharap kepada makhluk ( pemuda tahanan ) dan bukannya bertawakal kepada Allah S.W.T. Oleh itu, keranan pemuda tahanan tersebut terlupa untuk memberitahu pesanan Nabi Yusuf kepada raja, Nabi Yusuf tetap berada dalam penjara beberapa tahun lamanya. 


Para pembaca yang saya sayangi kerana Allah, dengan hanya bertawakal sahaja juga tidak akan beroleh apa-apa tanpa usaha. Didalam Surah Maryam ayat ke 25


Bismillahirrahmanirrahim,


"Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu kearahmu, niscaya ( pohon ) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu"


Selepas melahirkan Nabi Isa A.S, dalam keadaan yang sangat lemah Allah memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pohon kurma supaya kurma itu gugur dan dapat dimakannya untuk beroleh tenaga. Kajian juga mendapati bahawa kurma adalah pembekal tenaga yang baik . Wahai pembaca, bayangkanlah seorang perempuan yang baru sahaja melahirkan anak, berapa sahajalah tenaga yang ada padanya untuk mengoyangkan satu pohon kurma. Dengan goncangan yang lemah, dapatkan buah kurma jatuh ke tanah? 


Namun begitu, Allah menyuruh juga Maryam berusaha dan selanjutnya adalah menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.


Kesimpulannya, apa sahaja yang kita hadapi, letakkanlah keyakinan kita kepada Allah S.W.T sebagai keutamaan. Tanpa izin Allah S.W.T, apa yang kita rancangkan dan inginkan tidak akan menjadi. Namun begitu, kita perlulah juga berusaha untuk mencapai apa yang direncanakan.


Jika kita sudah berusaha dan bertawakal namun apa yang diidamkan tidak menjadi, jangan risau. Allah sedang merencanakan dan akan menggantikan sesuatu yang lebih baik kepada kita.  Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita