Sunday, February 19, 2012

Berkeluh-kesah (Bahagian i)

Salaam ukhuwah dan salaam satu ummah.

Untuk entri kali ini, penulis tidak akan membincangkan hukum-hakam dan isu fiqh, tetapi lebih kepada penulisan yang santai yang mungkin bermanfaat untuk sebahagian dari pembaca dan kurang bermutu bagi sebahagian lagi. Apapun, diharap entri ini mampu menjentik sedikit jiwa untuk berubah, inshaAllah

Kenapa kita tidak harus berkeluh-kesah?

Sesiapapun di dunia ini, pasti mempunyai perasaan sedih. Kerana kehilangan, kerana ditinggalkan mahupun meninggalkan. Seolah-olah Allah SWT telah tancapkan dalam sistem fitrah kita perasaan itu. Semua manusia ada perasaan sedih; tidak kira betapa sabarnya, atau betapa zalimnya mereka. Nabi Adam A.S bersedih ketika berpisah dari Hawa; Nabi Muhammad SAW yang kita maklum, makhluk paling tinggi sabarnya pun, turut pernah mengalirkan air mata. Bahkan Hitler; pembunuh enam juta orang Yahudi di Jerman, turut punyai perasaan itu. Sebelum dia membunuh diri, dikucupnya sebuah potret:- potret ibunya. Maka, dapat kita lihat bahawa tiada yang mampu berlepas dari perasaan sedih.

Tiada kitab yang melarang sepenuhnya manusia untuk bersedih, kerana sedih itu sedarjat dengan kemiskinan, cuma ianya tidak boleh dielakkan. Yang ditekankan dalam Islam adalah bagaimana kita menghadapi sedih itu. Bagaimana kita memberi respon kepada Allah SWT atas ujian/musibah/hazn yang menimpa kita. Adakah kita berkeluh atau bersyukur? Atau biasa-biasa saja?

Dan tidak datang kesedihan tanpa ada puncanya. Secara umum, punca sudah tentulah kerana menghadapi kesukaran dalam hidup. Bagi golongan pelajar, kesukaran biasanya datang dalam bentuk tugasan dan jadual yang menghimpit. Kita berasa cemas, tertekan, takut; semuanya bercampur-baur saat pensyarah meminta tugasan dihantar. Kesemua rasa itu dilakur menjadi satu: kesukaran.

Namun, saudara-saudari pejuang Allah, bukankah Allah SWT telah berfirman dalam surah ke-97, ayat ke-5 dan 6:
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Dan setiap kesukaran disertai kemudahan."
Maha Suci Allah SWT atas pengetahuanNya. DiketahuiNya kita akan berasa sedih, maka diturunkanNya ayat motivasi untuk kita agar terus berusaha. Apakah kita meragui janji Allah, sehinggakan kita berkeluh-kesah dengan kesukaran dunia ini? Bukankah dalam satu hadith, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Dunia adalah neraka buat para mukmin."
Oleh itu, jika kita berasa tertekan di dunia; berasa bagai di neraka, maka kembalilah kepada Allah SWT. Beriman pada keadilanNya. Yakinlah bahawa Allah pasti akan membantu kita. TanganNya mungkin tidak kelihatan, namun percayalah; Dia sedang membantu kita. RahmatNya saudara-saudari, adalah jauh lebih besar berbanding murkaNya. Sebab itulah, dalam keadaan keluh pun, kita temukan penyelesaian. Subhanallah.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment