Friday, February 24, 2012

Keluh-Kesah (Bahagian ii)

Salaam ukhuwah dan salam satu ummah. Sebelum itu, diperingatkan bahawa entri ini sangat panjang. Habiskanlah bacaan, inshaAllah.

surat i

Seorang pemuda menuliskan sebuah surat kepada wakil rakyatnya. Sekeping demi sekeping, demi sekeping surat berupa aduan permasalahan, keluh-kesah dan pertanyaan kepada si wakil rakyat. Namun setiap surat, tiada satupun berbalas. Pemuda tadi kecewa dengan pemimpinnya, lalu dia berpaling tadah. Dia menjadi pembantah kuat setiap perbuatan dan suruhan pemimpinnya itu.

Namun suatu hari, sedang dia mengemaskan rumahnya, dia ternampak beberapa keping surat yang bertarikh dua bulan lalu. Ianya dari wakil rakyatnya, Yang mengejutkan, surat itu telah tiba sebulan sebelum pemuda tadi menghantar kesemua suratnya. Ia menulis:
"Wahai rakyatku, aku sedar bahawa akan ada kesusahan-kesusahan yang akan timbul, maka bersabarlah. Laksanakanlah tanggungjawab kamu sebagai rakyat, nescaya akan mempermudahkan urusan kebajikan kamu semua.

Wahai rakyatku, sesungguhnya aku jauh lebih mengerti akan penderitaanmu, maka janganlah bersedih. Lap air matamu, ayuh kita harungi kehidupan ini bersama-sama. Ayuh, kita berpimpin tangan, sama-sama menuju JannahNya.

Wahai rakyatku, aku tahu yang kamu akan menuliskan surat kepadaku, memohon bantuan dariku. Oleh itu, telah aku sisipkan bersama surat ini, cara-cara bagaimana bantuan boleh kusalurkan kepadamu, maka bacalah ia.

Ikhlas."
Barulah dia sedar bahawa wakil rakyatnya jauh lebih mengerti betapa susahnya kehidupan. Barulah dia tahu yang pemimpinnya itu seolah merasakan betapa akan datang kesusahan-kesusahan dan beliau- melalui surat itu- menunjukkan cara dia boleh membantu.

surat ii

Sepasang kekasih sedang dilamun cinta. Mereka selalu berbalas surat, berhubung dengan cara konvensional itu dengan begitu intim. Penulisan mereka selalu dipenuhi dengan bunga-bunga bahasa yang menenangkan satu sama lain.

Yang menyeronokkan, pada awal penulisan mereka, tertera, "Dengan namaku yang mengasihi dan menyayangimu."

Lakurkan dua surat ini

Mesti anda terkejut kan, penulis menuliskan pos awal pagi berkenaan surat. Jangan risau, dalam blog ini, inshaAllah akan penulis elakkan dari berbicara isu-isu sensitif (meskipun ianya bertujuan untuk menyebarkan kebenaran). Baiklah, jom kita lihat rasional dinukilkan dua surat di atas.

Pertama sekali, sudah tentulah kedua-dua surat di atas fiksyen semata-mata. Belum pernah penulis menemukan wakil rakyat yang menulis surat sedemikian pada rakyatnya (kalau ada, alhamdulillah) dan belum pernah ada sepasang kekasih bertulis surat dengan sedemikian romantik; meletakkan sebuah ayat indah "Demi namaku yang menyayangi dan mengasihimu."

Namun sedar tidak sedar, Tuhan telah melakukan kedua-dua di atas. Dia telah mengirimkan surat cinta paling abadi, paling agung kepada kita, hambaNya. Cubalah kalian fikirkan, tuan manakah di dunia ini yang pernah mengirimkan surat kepada hamba mereka? Ternyata Allah SWT Maha Pengasih. Surah Al-Fatihah, ayat 5:
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan."
Setiap hari, bahkan kadang-kadang setiap malam kita berdoa agar ditunjukkan jalan kepada Allah SWT, tatkala kita berada dalam kesusahan. Bila kita bingung, kita minta dengan Tuhan dan merayu dengan air mata berlinangan agar ditunjukkan jalan, dipermudahkan hidup. Esok pagi, kita bangun menggosok mata, melihat tiada perubahan dalam hidup kita. Separuh berontak, separuh bersabar. Dan kadang-kadang, yang bersabar itu lama-kelamaan hilang sabarnya. Doa kita adalah umpama surat si pemuda kepada wakil rakyatnya tadi.

Namun seperti kirah surat i tadi, tanpa kita sedari Allah SWT sudah mengirimkan balasan yang terdahulu dari doa kita. Al-Qur'an. Di dalamnyalah tertulis segala jenis penyelesaian terhadap semua jenis masalah kita. Keluh-kesah kita telah terjawab di dalam kitab suci Allah ini, kerana Allah lebih mengerti akan kemahuan dan kehendak kita. Kebencian kita. Allah berfirman dalam Surah At-Takwir, ayat ke-29:
"Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."
'Surat' yang Allah SWT telah kirimkan 1,400 tahun dahulu kepada hambaNya yang mencari ketenangan hidup tidaklah dimulai dengan sesuatupun melainkan dengan ayat cinta terindah (Qur'an 1:1):
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Menyayangi."
Pertama kali penulis tersedar maksud implisit ayat ini, air mata penulis mengalir. Tingginya rasa sayang Allah kepada kita, sehingga Dia yang Maha Mulia, yang Beristiwa' pada Arasy mengatakan sendiri kecintaanNya.

Apa yang penulis faham di sebalik ayat ini adalah: "Dengan namaKu, Tuhanmu yang Mengasihi dan Menyayangimu, wahai hamba-hambaKu." Inilah perumpamaan dalam kisah surat ii tadi, di mana seorang kekasih mengirimkan surat kepada kekasihnya.

Saudara-saudari, berhenti mengeluh bila kita susah. Berdoalah sebanyak-banyaknya, dan dalam pada masa yang sama, buka kitabNya, nescaya kamu akan menemukan resolusi. Mungkin doa yang baru saja kamu rafa' telah terjawab di dalamnya. Kerat semua jari saya jika kamu tidak menemukan jawapan terhadap permasalahan kamu.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment