Tuesday, January 31, 2012

Kekasih Baginda

Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kita cintai, maka apakah akan kita jawab? Sesetengah mungkin menjawab, ibu dan bapa, ada yang menjawab rakan taulan. Adik-beradik, guru malah tidak kurang juga diri-sendiri. Kerana bagi manusia umumnya (dan penulis sendiri. Yalah, penulis bukannya ma'sum), mereka inilah yang menceriakan detik hampa, menerangkan detik sengsara, dan menjadikan semuanya berjalan mudah. Kerana mereka, hidup jadi indah dan penuh makna.

Timbul suatu persoalan: berapa peratuskah dalam kalangan kita yang akan menjawab, Rasulullah SAW? Pernahkah--saat ditanyai soalan di atas--hati kita menyebut nama Baginda? Tidak, barangkali. Ataupun jarang dan bagi yang benar-benar dalam imannya, sentiasa. Hakikatnya, rasa cinta kepada Baginda sudah semakin pudar dalam kalangan kita. Hidup kita sudah lengkap tanpa berselawat ke atasnya dan minima sekalipun, hanya mengingatinya dalam sambutan Maulud yang kadang-kadang lebih retorik berbanding penghayatan.

Sedangkan 1,400 tahun dahulu, Baginda telah mengisytiharkan cinta Baginda terhadap kita. Di hadapan Para Sahabat r.a, di hadapan ribuan Malaikat yang menaungi tazkirah Baginda, Baginda dengan air mata bergenang, dada yang sebak dan sendat dengan rasa rindu yang amat sangat, mengatakan kitalah kekasihnya.

Hayatilah kisah di bawah sebagai renungan

-----------------------

Malam terasa syahdu. Langit indah, seperti sediakala bersulam bintang mencerlang kegelapannya. Dalam kenyenyakan dunia melayari mimpi, sekumpulan manusia berdiri tegak menghadap Illahi; bertahajjud. Tahajjud yang diimamkan manusia paling agung pernah hidup. Rasulullah SAW.

Dalam solat sunat itu, Baginda membacakan Surah al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran. Para Sahabat tegak berdiri, tanpa merasa letih atau bosan, dan tidak pula mereka meminta keringanan. Usai bertahajjud, Baginda menyampaikan tarbiyyah seperti selalu. Dalam keheningan begitulah, hati manusia paling mudah dibentuk.

Tiba-tiba, Rasulullah SAW bersabda kenapa Abdullah bin Mas'ud, "Bacakan untukku surah ini." Abdullah bin Mas'ud yang kehairanan berkata, "Apakah layak bagiku membacakannya untuk engkau, sedangkan kepada engkaulah Al-Qur'an ini diturunkan?". Baginda menjawab tenang, "Aku senang mendengarkan bacaannya dari orang selain aku." Maka Abdullah bin Mas'ud pun membacanya dan Rasulullah SAW mendengar.

Apabila bacaan Abdullah bin Mas'ud sampai ke Surah An-Nisa' ayat 41, Rasulullah SAW menitiskan air mata tiba-tiba. Para Sahabat kehairanan dengan tingkah laku Baginda. Abdullah bin mAs'ud berkata, "Baginda berasa sedih kerana Baginda akan menjadi saksi atas umat Islam di akhirat," lalu beliaupun turut menangis.

Para Sahabat bertanya, "Apakah yang membuatmu menangis, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab dalam air mata, "Kerinduanku pada kekasihku."

"Bukankah kami kekasihmu, ya Rasulullah?"

"Kalian adalah Sahabatku. Sedangkan kekasihku adalah yang datang selepasku dan beriman padaku dan Al-Qur'an, padahal mereka belum pernah bertemuku."

Suasana bertukar hiba.

"Tahukah kalian siapa antara mereka yang paling beriman?"

"Malaikat."

"Bagaimanakah mereka tidak beriman, sedangkan mereka berada di sisi Rabb mereka?"

"Para Nabi, ya Pesuruh Allah."

"Bagaimanakah mereka tidak beriman, sedangkan Kitabullah diturunkan kepada mereka?"

'Kami, wahai Rasulullah."

"Bagaimanakah kalian tidak beriman, sedangkan aku berada di tengah-tengah kalian?"

"Lalu siapakah, wahai Rasulullah?"

"Orang yang paling kuat imannya adalah kaum yang datang setelah aku, di aman mereka beriman kepadaku dan kepada Al-Qur'an, padahal mereka belum melihatku."

---------------------

Rasulullah, manusia paling tabah di dunia tidak mampu menahan rasa rindu yang teramat sangat kepada para kekasihnya, pada kita yang beriman dengan sepenuh hati kepadanya. Kemudian, tanyakan diri kita semula: apakah begini dalamnya cinta kita kepada Baginda? Apakah yang telah kita lakukan demi cinta itu?

No comments:

Post a Comment