Tuesday, January 31, 2012

Kekasih Baginda

Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kita cintai, maka apakah akan kita jawab? Sesetengah mungkin menjawab, ibu dan bapa, ada yang menjawab rakan taulan. Adik-beradik, guru malah tidak kurang juga diri-sendiri. Kerana bagi manusia umumnya (dan penulis sendiri. Yalah, penulis bukannya ma'sum), mereka inilah yang menceriakan detik hampa, menerangkan detik sengsara, dan menjadikan semuanya berjalan mudah. Kerana mereka, hidup jadi indah dan penuh makna.

Timbul suatu persoalan: berapa peratuskah dalam kalangan kita yang akan menjawab, Rasulullah SAW? Pernahkah--saat ditanyai soalan di atas--hati kita menyebut nama Baginda? Tidak, barangkali. Ataupun jarang dan bagi yang benar-benar dalam imannya, sentiasa. Hakikatnya, rasa cinta kepada Baginda sudah semakin pudar dalam kalangan kita. Hidup kita sudah lengkap tanpa berselawat ke atasnya dan minima sekalipun, hanya mengingatinya dalam sambutan Maulud yang kadang-kadang lebih retorik berbanding penghayatan.

Sedangkan 1,400 tahun dahulu, Baginda telah mengisytiharkan cinta Baginda terhadap kita. Di hadapan Para Sahabat r.a, di hadapan ribuan Malaikat yang menaungi tazkirah Baginda, Baginda dengan air mata bergenang, dada yang sebak dan sendat dengan rasa rindu yang amat sangat, mengatakan kitalah kekasihnya.

Hayatilah kisah di bawah sebagai renungan

-----------------------

Malam terasa syahdu. Langit indah, seperti sediakala bersulam bintang mencerlang kegelapannya. Dalam kenyenyakan dunia melayari mimpi, sekumpulan manusia berdiri tegak menghadap Illahi; bertahajjud. Tahajjud yang diimamkan manusia paling agung pernah hidup. Rasulullah SAW.

Dalam solat sunat itu, Baginda membacakan Surah al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran. Para Sahabat tegak berdiri, tanpa merasa letih atau bosan, dan tidak pula mereka meminta keringanan. Usai bertahajjud, Baginda menyampaikan tarbiyyah seperti selalu. Dalam keheningan begitulah, hati manusia paling mudah dibentuk.

Tiba-tiba, Rasulullah SAW bersabda kenapa Abdullah bin Mas'ud, "Bacakan untukku surah ini." Abdullah bin Mas'ud yang kehairanan berkata, "Apakah layak bagiku membacakannya untuk engkau, sedangkan kepada engkaulah Al-Qur'an ini diturunkan?". Baginda menjawab tenang, "Aku senang mendengarkan bacaannya dari orang selain aku." Maka Abdullah bin Mas'ud pun membacanya dan Rasulullah SAW mendengar.

Apabila bacaan Abdullah bin Mas'ud sampai ke Surah An-Nisa' ayat 41, Rasulullah SAW menitiskan air mata tiba-tiba. Para Sahabat kehairanan dengan tingkah laku Baginda. Abdullah bin mAs'ud berkata, "Baginda berasa sedih kerana Baginda akan menjadi saksi atas umat Islam di akhirat," lalu beliaupun turut menangis.

Para Sahabat bertanya, "Apakah yang membuatmu menangis, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab dalam air mata, "Kerinduanku pada kekasihku."

"Bukankah kami kekasihmu, ya Rasulullah?"

"Kalian adalah Sahabatku. Sedangkan kekasihku adalah yang datang selepasku dan beriman padaku dan Al-Qur'an, padahal mereka belum pernah bertemuku."

Suasana bertukar hiba.

"Tahukah kalian siapa antara mereka yang paling beriman?"

"Malaikat."

"Bagaimanakah mereka tidak beriman, sedangkan mereka berada di sisi Rabb mereka?"

"Para Nabi, ya Pesuruh Allah."

"Bagaimanakah mereka tidak beriman, sedangkan Kitabullah diturunkan kepada mereka?"

'Kami, wahai Rasulullah."

"Bagaimanakah kalian tidak beriman, sedangkan aku berada di tengah-tengah kalian?"

"Lalu siapakah, wahai Rasulullah?"

"Orang yang paling kuat imannya adalah kaum yang datang setelah aku, di aman mereka beriman kepadaku dan kepada Al-Qur'an, padahal mereka belum melihatku."

---------------------

Rasulullah, manusia paling tabah di dunia tidak mampu menahan rasa rindu yang teramat sangat kepada para kekasihnya, pada kita yang beriman dengan sepenuh hati kepadanya. Kemudian, tanyakan diri kita semula: apakah begini dalamnya cinta kita kepada Baginda? Apakah yang telah kita lakukan demi cinta itu?

Friday, January 6, 2012

Si tua, mana anakmu?





Oh Anak…Kalaulah kau tahu…bahawa kau kan tua jua akhirnya jika kau panjang umur.


Assalamualaikum wahai insan2 yang terpilih, semoga bahagia dunia dan akhiratmu. Bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerna masih diberi nafas untuk meneruskan sisa-sisa hidup didunia. Alhamdulillah. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi sebuah artikel yang saya tulis di blog biliksebelah.wordpress.com. Artikel berkenaan situa yang dipinggirkan, hayatilah....


Sejak akhir-akhir ini, bukan setakat anak kecil dibuang di merata-rata tempat. Malahan anak pun tergamak membuang ayah dan ibu mereka di tepi-tepi jalan. Yang memualkan pelakunya adalah mereka yang beragama Islam.

Kurang ajar! Biadap! Tak kenang budi! Hanya perkataan seperti itu yang layak digelar kepada si anak. Anak yang dibesarkan dengan susah payah selama ini memberi balasan seumpama ini kepada ayahnya. Mana pergi tanggungjawab dan amanah yang terpikul?Tergamak anaknya berbuat begitu.

Ayah yang terlantar uzur tidak bermaya , yang mengharapkan perhatian anaknya tatkala diri ini sudah menuju ke penghabisan usia. Oh anak, tergamaknya dikau membiarkan dia sendirian

Ini belum dicampur lagi dengan kebanjiran si tua ditepi-tepi jalan untuk meminta sedekah. Tatkala saya lalu-lalang disebelah mereka, saya terfikir dimanakah anak mereka? Anak jenis apakah ini yang sanggup membiarkan ibu-bapa sendiri meminta sedekah ditepi jalan? Mana dia perut-perut yang disajikan makanan dari titik peluh seorang ayah dan ibu? Tergamak mereka.

Disini juga saya ingin selitkan kisah seorang anak yang mulia. Marilah sama-sama mengambil iktibar dari kisah ini

Suatu hari, Nabi Musa bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”Allah pun menjawab dengan menyebut nama orang itu, kampung dan tempat tinggalnya. Selepas mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu. Beberapa hari kemudian, akhirnya Baginda sampai ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa penduduk di situ, Baginda berjaya bertemu dengan orang berkenaan. Selepas memberi salam, Nabi Musa dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia terus masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian, dia keluar sambil membawa seekor khinzir betina yang besar. Khinzir itu didukung dengan cermat, dibersihkan, dimandikan dan dikeringkan serta dipeluk cium sebelum dihantar semula ke dalam bilik. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Apa hal ini?” katanya di dalam hati dengan hairan. Tidak lama kemudian, dia keluar sekali lagi sambil membawa pula seekor khinzir jantan yang lebih besar dan diperlakukan sebagaimana tadi. Selepas kerjanya, barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara, apa agama kamu?” “Aku agama Tauhid,” jawab pemuda itu iaitu agama Islam. “Habis mengapa kamu memelihara khinzir? Kita tidak boleh berbuat begitu,” kata Nabi Musa. Pemuda itu berkata, “Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua khinzir itu adalah ibu bapa kandungku. Mereka melakukan dosa yang besar dan Allah menukar rupa mereka menjadi khinzir yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipan aku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah berubah, aku tetap melaksanakan tugas aku. “Setiap hari aku berdoa kepada Allah supaya mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar tetapi Allah masih belum memakbulkannya lagi,” kata pemuda itu. Maka ketika itu juga, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa. “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. “Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa khinzir tetapi dia masih berbakti juga. Oleh itu, Kami naikkan makam dia sebagai anak salih di sisi Kami,”. Allah juga berfirman yang bermaksud: “Oleh kerana dia berada di makam anak yang salih di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang kami sediakan di neraka Kami pindahkan ke dalam syurga.””

Renungilah kisah diatas. Seperti mana yang kita sedia tahu, khinzir merupakan haiwan yang haram. Jika kita renungi kisah diatas, walaupun ibu dan ayah pemuda tersebut telah bertukar menjadi khinzir, tetapi kasih sayang pemuda tersebut terhadap ibu dan ayahnya tidak dipisahkan melalui sifat fizikal ayah dan ibunya. Pemuda itu sedar bahawa walaupun ibu dan ayahnya seekor khinzir, tanggungjawab untuk membahagiakan mereka masih tidak terlepas dari bahunya. Contohilah pemuda diatas.


Wahai sahabat, contohilah juga sifat Uwais Al-Qarni yang keinginannya berkobar-kobar untuk bertemu Rasulullah S.A.W, tetapi terdapat sedikit halangan dimana beliau perlu menjaga ibunya yang uzur. Akhirnya, pada suatu hari Uwais menyatakan hasrat hatinya kepada ibunya. Namun, setelah sampai di rumah Rasulullah S.A.W, baginda telah berangkat ke medan perang. Dalam hatinya, bergolak keinginan untuk menunggu kepulangan Rasulullah S.A.W , namun tanggungjawabnya terhadap ibunya mesti dilaksana.


Sepulangan baginda dari medan perang, baginda menanyakan tentang Uwais kepada Aisyah.Baginda menjelaskan bahawa Uwais Al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya, Beliaulah penghuni langit dan sangat terkenal disana.


Wahai pembaca sekalian. Jika anda salah seorang anak yang membuang ibu dan ayah anda, bertaubatlah. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka bagi anda. Jagalah ibu dan ayah anda sebaiknya. Walaupun ibu dan ayah anda pernah melakukan kesilapan, maafkanlah dan terimalah mereka . Mahukah anda jika anak-anak anda melakukan perkara sedemikian kepada anda? Insaflah dan sayangilah ibu bapa anda selama mereka masih ada. Jika sudah terlambat,titipkanlah doa untuk mereka kerana sesungguhnya doa seorang anak yang soleh merupakan salah satu bekalan bagi mereka ketika berada dialam sana.


Akhir kata dari saya, sayangilah ibu dan ayah selagi mereka masih ada dan titipkanlah doa hingga keakhir hayat anda untuk mereka.

Allah telah berfirman: “Dan Kami perintahkan (campakkan ke dalam hati) manusia (agar berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya;ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada Akulah kembalimu”.