Saturday, August 28, 2010

Lapan Sifat Wanita - oleh Imam Al Ghazali



Sifat wanita yang baik untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak-anaknya …

1. Seorang perempuan yang beragama dan mempunyai sifat-
sifat solehah serta takut akan Allah s.w.t. dan senantiasa menjauhkan diri daripada
laranganNya dan perkara-perkara yang haram.

Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud
“ Berkahwin akan perempuan itu kerana hartanya, dan eloknya, dan kerana
bangsanya, dan kerana agamanya, maka lazimkan olehmu berkahwin dengan
perempuan yang mempunyai agama”

Dalam sabda Nabi s.a.w. yang lainnya juga menyebut bahawa
“Barang siapa berkahwin berkehendak akan perempuan kerana hartanya, dan
kerana elok rupanya, nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni
ditegahkan akan hartanya dan elok rupanya dan barang siapa yang berkahwin
akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah s.w.t akan dia akan
hartanya dan elok rupanya.”

Namun ini tidaklah bermaksud harta dan rupa paras tidak dipentingkan dalam Islam.
Dalam hadits lain ada menyebut bahawa salah satu ciri wanita yang baik adalah
apabila suami memandang isteri, si suami akan merasa senang dan tenang . Ini
berdasarkan jawapan Rasulullah s.a.w kepada sahabat apabila ditanya
‘Siapakah orang perempuan yang baik itu”.
Maka jawab Rasulullah s.a..w
“Perempuan yang baik itu ialah yang apabila engkau pandang mukanya, engkau
akan rasa seronok”.

Maka dapat dikatakan bahawa paras rupa juga merupakan satu kreteria dalam
memilih isteri. Walau bagaimana pun Nabi s.a.w. juga memberi amaran kepada lelaki
supaya tidak memilih isteri semata-mata kerana cantik rupa paras dan kekayaan
sahaja kerana ianya dikhuatiri akan menjadi punca kepada kepincangan sesebuah
rumah tangga. Seperti mana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud ;
“Janganlah kamu kahwini perempuan itu kerana segaknya semata-mata kerana
takut disebabkan segak dan cantiknya menyebabkan kamu dihina olehnya, dan
jangan kamu nikahi seorang perempuan semata-mata kerana hartanya kerana
ditakuti hartanya menyebabkan dia melampau terhadap kamu,tetapi hendaklah
kamu nikahi seorang perempuan itu kerana agamanya disamping paras rupanya
cantik dan dari keluarga yang berharta”.

Namun Nabi s.a.w tetap menyarankan supaya kreteria pertama yang akan diambil
kira apabila memilih isteri adalah dari segi agamanya seperti maksud sabdanya
“Kalau sekiranya isteri kamu seorang hamba yang hitam kulitnya tetapi mempunyai
agama yang kuat maka itu adalah lebih baik bagimu”.

2. Disunatkan memilih seorang perempuan yang baik perangai
dan akhlaknya kerana ianya akan membantu dalam menyempurnakan ibadah
terhadap Allah s.w.t.

Dinyatakan bahawa seorang pempuan yang buruk perangainya dan jahat lidahnya
akan mendatangkan banyak mudarat di dalam sesebuah keluarga daripada
manfaatnya melainkan suaminya itu adalah seorang yang sangat sabar orangnya
dengan telatah dan kerenah isteri.Dalam hal ini dinyatakan juga sebagai panduan
enam (6) sifat perempuan yang sebolehnya dielakkan apabila memilih calon isteri.

Sifat Al-Annaanah
Perempuan yang perbanyakkan keluh kesah dan suka mengadu-ngadu padahal dia
sntiasa menghiasi dirinya.Jika dikahwini perempuan yang demikian akan
menyakitkan hati dan tidak peroleh didalamnya kebajikan.

Sifat Al-Mannaanah
Perempuan yang banyak membangkitkan atas suaminya iaitu seorang isteri yang
suka mengungkit samada kebaikkannya ataupun keburukkan suaminya dalam
pertuturan seharian bersama suaminya.

Sifat Al-Hannaanah
Perempuan yang berkeinginan terhadap lelaki lain selain suaminya.Diwajibkan
kepada lelaki supaya menjauhi perempuan yang bersifat tersebut kerana banyak
mudaratnya.

Sifat Al-Haddaaqah
Perempuan yang gemar akan tiap-tiap sesuatu dan ingin dia akan ia dan dengan itu
memberatkan dia akan suaminya untuk membeli barangan tersebut.

Sifat Al-Barraaqah
Terdapat dua sifat Al-Barraqah iaitu :-
# Terlalu suka menghias diri dan mencantikkan wajahnya secara keterlaluan.
# Suka memarahi keatas rezeki yang disediakan dan senantiasa merasa
pemberian suami tidak mencukupi.(Termasuk sifat suka membandingkan
pemberian suami dengan orang lain yang mendapat lebih baik dari suami mereka
pada anggapannya)

Sifat Al-Sallaaqah
Perempuan yang suka memperbanyakkan perkataan iaitu perempuan yang suka
bercakap sesuatu yang tidak berfaedah dan berbau umpatan.


Selain itu menurut kata Saidina Ali r.a , terdapat juga sifat-sifat yang dianggap tidak
baik jika ada pada seorang lelaki tetapi ianya baik jika terdapat pada seorang
perempuan iaitu :-

Sifat Al-Baqlu.
Sifat kikir / kedekut kerana dengan sifat ini akan terpelihara harta suami.

Sifat Az-Zahhu.
Sifat membesarkan diri / sombong kerana apabila seseorang perempuan itu
membesarkan dirinya maka enggan dia untuk berkata-kata dengan semua orang
dengan perkataan yang lemah lembut. Maka dengan itu akan terpeliharalah suami
dari perasaan cemburu dan gelisah.

Sifat Al-Jubnu.
Sifat penakut kerana dengan sifat ini akan terhindar ia daripada keluar rumah
sesuka hati tanpa mengira masa dan waktu.Sifat ini juga akan memelihara seorang
isteri daripada sifat cemburu dan perasaan curiga suami.



3. Disunatkan memilih perempuan yang elok rupa parasnya.

Disarankan untuk memilih seorang perempuan yang cantik rupa parasnya kerana
dengannya semoga akan terhindar keinginan lelaki tersebut untuk memandang akan
perempuan yang lainnya. Namun di ingatkan lagi bahawa di tegah untuk mengahwini
seorang perempuan yang cantik tetapi tidak mempunyai agama.Dalam hal ini kita
disarankan juga untuk memilih seorang perempuan yang kurang elok dari segi paras
rupanya asalkan perempuan tersebut kuat beragama dam berakhlak mulia jika
perkahwinan tersebut semata-mata untuk mengikut sunnah Nabi s.a.w dan untuk
mendapatkan zuriat serta untuk membantunya mentadbirkan rumahtangganya, dan
kebanyakkan orang-orang alim dan soleh memilih perempuan yang sebegini untuk
dijadikan isteri.



4. Disunatkan untuk memilih seorang perempuan yang mas
kahwinnya kurang / murah kerana sabda Nabi s.a.w yang maksudnya
“ Bermula yang terlebih baik perempuan itu ialah yang terlebih baik mukanya dan yang terlebih murah isi kahwinnya”

Dan dalam hadist Nabi s.a.w. yang lainnya bermaksud
“Setengah dari baraqah maka perempuan itu iaitu segerakan dipersuamikan dan
di segerakan rahimnya itu kepada beranak”

Secara ringkasnya tanda-tanda seorang perempuan yang baik adalah
Rendah mas kahwinnya
Disegerakan perkahwinannya.
Menyegerakan untuk mendapat anak.


5. Disunatkan memilih perempuan yang banyak beranak /
melahirkan zuriat

kerana sabda Nabi s.a.w maksudnya ,“Lazimkan keatasmu
berkahwin dengan perempuan yang banyak anak dan perempuan yang banyak kasih
sayang ke atas suaminya”


6. Disunatkan memilih perempuan yang masih anak dara
kerana menurut Nabi s.a.w apabila mengahwini perempuan (anak dara) akan menjadi lebih
mesra perhubungan antara suami dan isteri.


7. Di sunatkan memilih perempuan yang berasal dari bangsa
yang baik
iaitu perempuan itu terdiri daripada anak cucu dikalangan orang yang
beragama dan anak cucu dari orang yang soleh serta alim kerana menurut sabda
Nabi s.a.w yang maksudnya “Pilih olehmu akan perempuan yakni tempat bagi mani
kamu itu maka kerana bahawa sesungguhnya gemar itu terlebih mengekalkan”
Di galakkan memilih perempuan mahu pun lelaki dari kalangan yang baik-baik
kerana menurut Nabi s.a.w, sifat baik dari ibu bapa kadang kala akan di warisi
oleh anak samada lelaki mahupun perempuan.
“Keturunan baik itu akan diwarisi oleh anak-anaknya”
Di samping itu Nabi s.a.w menasihatkan supaya lelaki berhati-hati apabila memilih
perempuan agar tidak memilih perempuan yang mempunyai paras rupa yang cantik
da berasal dari keturunan yang rosak akhlaknya.


8. Disunatkan memilih perempuan yang bukan dari kerabat
yang hampir
kerana yang demikian itu mengurangkan syahwat. Sabda Nabi s.a.w
pula menyebut yang bermaksud
“Jangan kamu kahwin akan perempuan dari kerabat yang hampir maka bahwa
sesungguhnya anak itu dijadikan daif tubuhnya”


Demikianlah lapan sifat wanita yang di nyatakan oleh Imam Al-Ghazali didalam
kitabnya.

Perbaiki Dirimu, Allah Akan Baiki Zuriatmu


Seorang sahabat memberitahu bahawa dia mempunyai seorang teman yang berpangkat tinggi dan bergaji besar, bekerja di sebuah jabatan kerajaan yang sangat berprestij. Setiap hari temannya itu akan mengkhususkan beberapa jam untuk aktiviti dakwah dan amal kebajikan. Suatu hari dia bertemu dengan temannya dalam suatu program dakwah anjuran temannya itu. Dia bertanya, ‘Kenapa anda menyibukkan diri dengan aktiviti sebegini? Bukankah anda seorang yang berjawatan tinggi? Kenapa tidak tumpukan sahaja kepada urusan pejabat yang pastinya bertimbun-timbun itu?’

Temannya berbisik, “Ya akhi, Dengar sini! Saya ingin dedahkan kepada anda satu rahsia yang tersimpan di dalam diri saya. Sebenarnya saya mempunyai enam orang anak, kebanyakannya lelaki. Saya sangat bimbang tentang diri mereka. Saya takut mereka terseleweng ke jalan yang salah. Saya pula sibuk dengan tugas dan tidak mampu mendidik mereka dengan sempurna. Tetapi saya dapat rasai besarnya nikmat Allah kepada saya. Semakin banyak saya berikan waktu untuk agama-Nya, anak-anak saya akan jadi bertambah soleh!” Sesungguhnya apa yang dialami oleh teman kepada sahabat itu bukan suatu kebetulan. Sebaliknya itu adalah janji-Nya. Bukankah Dia telah berfirman dalam kitab suci-Nya:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

(Muhammad 47: 7) Di tempat lain, Allah berfirman (maksudnya):

“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka) dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

(Al-Kahf 18: 82)

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, seorang sahabat yang terkemuka ketika beliau sedang bersolat di tengah malam, anak kecilnya tidur nyenyak di sebelahnya. Sebaik sahaja selesai solat dia pun memandang anak itu dengan penuh kasih sayang sambil berkata ‘keranamu wahai anakku!’. Kemudian dia membaca firman Allah (وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحً۬ا - Al-Kahf 18: 82 ) dengan tangisan yang tidak mampu ditahan.

Demikianlah kefahaman para sahabat dan salaf as-soleh. Mendidik anak agar menjadi insan yang soleh bukan hanya dengan mengajar ilmu yang berguna dan menunjukkan contoh teladan yang baik. Lebih daripada itu ibu bapa mesti menunaikan tanggungjawab terhadap Allah subhanahu wataala sebagaimana yang dituntut dengan sebaik mungkin. Ibu bapa jangan alpa terhadap amanah yang dipikulkan ke atas setiap Muslim, iaitu membela agama Allah dengan berdakwah, berjihad, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Jangan ragui janji-Nya bahawa Dia pasti akan menolong mukmin yang menolong agama-Nya.

Ketika mentafsirkan ayat di atas (Al-Kahf 18: 82), al-Hafidz Ibn Kathir berkata bahawa Allah subhanahu wataala memelihara harta yang terpendam milik dua orang anak yatim itu kerana kesolehan bapa mereka. Selang antara mereka dengan bapa yang soleh itu adalah tujuh generasi!

Apakah nilai harta terpendam itu?

Menurut Ibn Abbas radiallahuanhu ia merupakan perbendaharaan ilmu. Hasan al-Basri berkata harta itu berupa sekeping luh yang diperbuat daripada emas, di atasnya tertulis mutiara ilmu:

“Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku berasa hairan melihat orang yang beriman dengan qadar, bagaimana dia masih bersedih? Aku berasa hairan terhadap orang yang beriman dengan kematian, bagaimana dia masih ketawa ria? Akube rasa hairan terhadap orang yang mengenali dunia serta sifatnya yang cepat berubah, dia masih juga selesa dengan kemewahan dunianya? Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad itu pesuruh Allah.”

Menurut Ikrimah pula, di bawah dinding itu perbendaharaan harta yang banyak. Yang penting bukan jenis harta serta berapa nilainya. Pengajaran yang paling berharga buat kita adalah janji Allah Yang Maha Benar, iaitu menolong orang yang menolong agama-Nya.

Anak contohi peribadi orang tua



Oleh Mohd Fadly Samsudin




DIALAH pemimpin, ditugaskan mencari nafkah, perancang serta pelindung sesebuah keluarga. Pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul seorang bapa tiada tandingannya.

Kasih sayang yang terhubung kuat antara keluarga menyebabkan setiap bapa bersemangat membuktikan mereka individu terbaik kepada anak dan isteri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Seorang bapa mahu melihat seluruh ahli keluarganya hidup terbela walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan di hadapan mereka.

Semua ibu bapa menganggap kejayaan terbesar mereka di dunia ini adalah kejayaan mendidik anak yang mampu menjadi penyambung keturunan yang berguna.
Anak ibarat 'pelaburan' yang akhirnya akan kembali menguntungkan ibu bapanya selepas mereka meninggal dunia.

Hadis Riwayat Muslim menyatakan: "Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya."


Islam mengajar umatnya supaya membentuk jati diri anak dengan amalan pengukuhan sejak kecil supaya dewasa kelak mereka membesar dengan sempurna.
Contohnya, mengajar serta menyuruh anak menunaikan solat lima waktu sejak berusia tujuh tahun membuktikan amalan berkenaan amat penting sebagai asas kukuh menjadi insan berkeperibadian mulia.

Imam al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah, hatinya yang bersih ibarat jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat dan jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia"

Ibu bapa pastinya menginginkan anak yang lahir menjadi seorang yang pintar, memiliki rupa paras baik, mampu berdikari, disenangi orang ramai dan soleh.

Pada masa sama, untuk memiliki anak yang soleh, ibu bapa juga perlu menjadi soleh. Cabaran menggalas amanah sebagai ketua keluarga membesarkan anak bukan proses singkat dan semudah yang disangka.

Benar, ibu bapa sanggup tidak mempunyai apa-apa asalkan apa yang anak mereka mahukan dipenuhi. Mendidik anak pada zaman serba moden ini berbeza dan amat mencabar.

Keruntuhan nilai moral dan akhlak muda-mudi membuatkan tugasan sebagai bapa diuji. Menjadi kewajipan seorang bapa menyediakan nafkah kepada keluarga, tetapi jangan sampai perubahan gaya hidup mengejar kekayaan dan kejayaan tanggungjawab utama terhadap keluarga diabaikan.

Bapa juga perlu bijak mengawal dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku anak mereka. Bukan mudah untuk memberi teguran kepada anak sekarang kerana mereka cepat melenting.

Namun, bapa layak dan berhak menegur anak mereka. Bapa mithali perlu sentiasa melihat kepentingan penjagaan anak secara bersama.

Bukannya hanya menyerahkan 100 peratus kepada isteri atau pembantu rumah.

Kewajipan ibu bapa zaman moden ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan keibubapaan sebelum mendirikan rumah tangga.

Lihat bagaimana seorang insan biasa bernama Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Allah merakamkan nasihat beliau kepada anaknya dalam al-Quran.

Beliau seorang yang bijaksana dalam urusan memberi pendidikan kepada anaknya. Luqman menerapkan pendidikan menyeluruh kepada anaknya mencakupi asas ibadat, akidah, akhlak serta dakwah.

Beliau berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya jika ada amalan engkau (baik atau buruk) seberat biji sawi yang tersembunyi dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya didatangkan (dibalas) Allah juga. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah orang (membuat) yang makruf (baik) dan laranglah (membuat) yang mungkar (haram) serta bersabarlah di atas cubaan yang menimpamu. Sesungguhnya demikian itu pekerjaan yang dicita-citakan. (Surah Luqman ayat 16-17)

Ketahuilah bahawa setiap doa yang dipanjatkan itu adalah sebuah harapan dan impian yang pasti dikabulkan Allah.

Bagi memantapkan kefahaman Islam di kalangan anak, bapa turut berperanan mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah seperti memupuk minat membaca bahan bacaan berunsur akademik, membawa anak ke pesta buku atau mengikuti kem atau program ibadah.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin berkata, bapa layak diangkat menjadi mithali kerana mereka perlu menjadi qudwah hasanah (suri teladan) yang terbaik.

"Dalam konteks anak, paling mustahak adalah pendidikan atau pengarahan secara teladan. Anak-anak lazimnya belajar melalui pengamatan dan meniru perlakuan dan tindak-tanduk bapanya.

"Melalui pengamatan akan terbentuk sesuatu dalam mental anak dan akan menjadi pelajaran berguna kepada mereka. Oleh itu, setiap tingkah laku bapa akan membentuk proses pengukuhan yang akan sebati dengan peribadi anak," katanya.

Badli Shah berkata, mendidik anak perlu disesuaikan dengan zaman anak berdasarkan suasana dan pola tingkah laku mereka.

"Jika merujuk kepada teori corak asuhan Dua Dimensi Baumrind, terdapat empat jenis bapa iaitu autokratik (tinggi kawalan, kurang responsif), permisif indulgen (tinggi responsif kurang kawalan), demokratik (tinggi responsif dan kawalan) dan permisif negligen (rendah responsif dan kawalan).

"Justeru, terpulang kepada ibu bapa untuk menyesuaikan dengan empat corak asuhan berkenaan yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa pendekatan kerohanian Islam iaitu dengan mengamalkan beberapa bacaan tertentu pada waktu tertentu sebagai doa khusus agar bermasalah berubah menjadi insan yang soleh.

"Dalam mendidik anak, perlu ada sifat sabar dan jangan bertindak kasar. Ini boleh diikhtiarkan dengan beberapa cara antaranya banyakkan berdoa kepada Allah dengan bertawajuh pada dinihari.

"Selain itu, bacakanlah empat ayat terakhir surah al-Hasyr iaitu ayat 21, 22, 23 dan 24. Lakukan ketika anak sedang tidur dan niatkan supaya Allah lembutkan hatinya untuk berkelakuan baik. Selepas membaca empat ayat itu, tiupkan di ubun kepalanya.

"Kaedah lain dengan membaca lima ayat pertama dalam surah Toha lalu ditiupkan ke arah bertentangan dengan hidungnya ketika dia menarik nafas sewaktu sedang tidur. Lima ayat dalam surah berkenaan mempunyai riwayatnya tersendiri," katanya.

Beliau berkata, wang ringgit yang dibelanjakan seorang bapa kepada keluarganya adalah nafkah paling afdal dan paling besar pahalanya di sisi Allah.

"Tidak keterlaluan dikatakan bahawa pahalanya melebihi jihad di jalan Allah. Dalam hal ini, Tsauban r.a menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dinar yang paling utama yang dibelanjakan oleh seseorang adalah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dibelanjakan oleh seseorang untuk tunggangannya dalam jihad di jalan Allah dan dinar yang diinfakkan oleh seseorang untuk teman-temannya di jalan Allah." (Riwayat Muslim).

"Maka bapa perlu mengetahui bahawa setiap nafkah yang diberikan kepada keluarganya amat besar pahalanya. Bahkan, nafkah itu dihitung sebagai amalan sedekah," katanya.

Badli Shah berkata, bukan perkara mudah untuk mencapai kesempurnaan dalam memberikan didikan terbaik kepada anak.

"Yang penting bukanlah ketinggian ilmu yang dimiliki seorang bapa, tetapi kemahiran dan hikmah yang sentiasa mereka pelajari setiap masa.

"Meluangkan masa bersama anak selama 24 jam sekalipun tidak bermakna, tetapi yang penting sekali adalah masa berkualiti yang diperuntukkan.

"Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak jika ia tidak diisi dengan perkara yang bermanfaat? Asyik menonton televisyen bersama, tetapi tidak bercakap sepatah pun," katanya.

Saturday, August 14, 2010

Badiuzzaman Said Nursi, Ulama, Mujaddid & Sufi Besar Abad Ke 20

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan di perkampungan Nurs di Wilayah Bitlis, yang terletak di timur Anatolia pada tahun 1876M, iaitu tahun Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau yang kemudiannya diberi gelaran Badiuzzaman (Keagungan Zaman) berketurunan Kurdi dan tidak bertutur di dalam Bahasa Turki, hinggalah beliau berhijrah ke bandar Van.

Semasa di Van, beliau telah membuat analisa terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya kaum Kurdi terhadap Islam. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak.

Beliau seterusnya mengusahakan agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman.

Ketika berlakunya kucar kacir besar-besaran di Istanbul pada 13 April 1909 yang membawa kepada tersingkirnya Sultan Abdul Hamid II dari takhta Khalifah, Parti Ittihad ve Terakki telah pun menguasai negara. Mereka telah menangkap ramai sarjana Islam dan diheret ke muka pengadilan. Di antara mereka itu ialah Badiuzzaman Said al-Nursi. Tetapi disebabkan oleh kepintarannya berhujah, mahkamah gagal mensabitkan beliau dengan sebarang pertuduhan, dan akhirnya dibebaskan.

Badiuzzaman Said al-Nursi juga pernah pergi ke Syam (Damascus) dan menyampaikan khutbahnya di Masjid al-Umawi di sana. Khutbah yang disampaikannya di situ dikenali sebagai al-Khutbah al-Syâmiyyah, menjelaskan tentang sebab-sebab kemunduran umat Islam sebagaimana yang diperhatikannya.

Beliau juga telah secara sukarela menyertai Perang Dunia Pertama bersama-sama dengan 3000 orang anak muridnya. Mereka bertempur dengan tentera Russia yang bekerja keras menawan Bitlis. Selepas ramai tentera Russia terbunuh di satu pihak, serta tentera Islam dari kumpulan Turki dan Kurdi di satu pihak yang lain, akhirnya Bitlis jatuh ke tangan Russia. Badiuzzaman Said al-Nursi telah ditawan dan dipenjarakan. Akan tetapi, semasa di penjara itu, beliau tetap meneruskan kerjanya mengajar Islam kepada tawanan perang.

Badiuzzaman telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudiannya beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin dan Vienna.

Di Istanbul, Enver Paşa yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telah mengurniakan Badiuzzaman Said al-Nursi pelbagai anugerah kehormat di atas jasanya memimpin orang ramai ke arah bangkit menentang penjajahan Russia. Enver Paşa juga telah melantik beliau menjadi anggota Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye, sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.

Selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan berjayanya Turkish Grand National Assembly dibentuk, kabinet Atatürk telah menjemput Badiuzzaman menyertainya di Ankara. Jemputan itu diterima, namun selepas tibanya Badiuzzaman ke Ankara, dia tidak dapat bersekongkol dengan mereka kerana beliau mendapati anggota kabinet itu tidak patuh kepada Syariat Islam.

Beliau menegur Atatürk dan anggota kabinetnya, “tidak ada kebaikan yang boleh saya harapkan daripada golongan yang mengabaikan Solat!”
Selepas itu, Badiuzzaman Said al-Nursi meneruskan kegiatannya berdakwah, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh regim Atatürk.

Pada tahun 1935, kerajaan Republik Turki telah membuat pertuduhan terhadap Badiuzzaman bahawa kononnya beliau menubuhkan sebuah gerakan rahsia yang menentang pemerintah. Beliau telah didakwa di Mahkamah Eskişehir dan kemudiannya dibuang ke Kastamonu. Manakala pada tahun 1943, Mahkamah Denizli telah mendakwa Badiuzzaman Said al-Nursi bahawa beliau memimpin sebuah pergerakan rahsia yang bertujuan menggulingkan pemerintah, serta menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’. Pendakwaan itu berlangsung selama 9 bulan. Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tetapi ditahan daerah di Emirdağ, sebuah bandar di daerah Afyon.

Pada tahun 1952, Badiuzzaman tiba di Istanbul tetapi kemudiannya pulang semula ke Emirdağ dan di peringkat inilah, risalah-risalah karangannya, dikumpul dan ditulis dengan huruf Arab untuk disebarkan kepada orang ramai. Pengikut Badiuzzaman menjadi semakin ramai khususnya selepas tahun 1950 iaitu di era pemerintahan İsmet İnonu.

Penulisan Badiuzzaman telah menjadi pembimbing yang besar kepada umat Islam di Turki. Beliau menulisnya secara non linear iaitu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran bukan mengikut susunan Surah atau Ayat. Sebaliknya berdasarkan kepada keperluan masyarakat menerusi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Beliau sendiri menggelar Risalahnya sebagai “penolak keraguan yang ditimbulkan oleh Syaitan-syaitan Jin dan manusia, serta pengukuh Aqidah kaum Muslim di jalan yang Haq dan betul”

Pada tahun 1960 Said al-Nursi berhasrat untuk berpindah dari İsparta ke Urfa. Di rehlah kali inilah, Badiuzzaman Said al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas suatu perjalanan hidup yang panjang dan berliku, iaitu pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Beliau selamat dikebumikan di Urfa.

Akan tetapi pada 11 Julai 1960, Revolusi Tentera telah menggulingkan pentadbiran kabinet Adnan Menderes dan beliau sendiri dihukum gantung oleh pihak Tentera dengan alasan bersikap acuh tidak acuh di dalam mengekang kebangkitan semula golongan pro-Islam. Pada masa itulah, anggota revolusi telah mengarahkan supaya makam Badiuzzaman Said al-Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan untuk dipindahkan ke İsparta. Di bandar itulah, Badiuzzaman Said al-Nursi bersemadi di suatu tempat yang tidak diketahui, hingga ke hari ini.

Badiuzzaman Said al-Nursi telah mewariskan hasil pemikirannya di dalam jumlah yang besar. Antaranya ialah:

1.Rasâil al-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah, terbahagi kepada:
a.Sözler (al-Kalimât) yang terdiri daripada 33 Risalah.
b.Mektubât, terdiri daripada 50 Risalah.
c.Lem’ât, terdiri daripada 15 Risalah.
d.Juzuk tambahan kepada Rasâil al-Nur iaitu Lâhika Kastamonu, Lâhika Emirdağ dan Lâhika Barla.

2.Tulisan-tulisan lain seperti İşaratü, Mesnevi-i Nuriye dan sebagainya

Dakwah yang dilakukan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi menonjolkan kesungguhan beliau memecahkan kebekuan tradisi pengajian ilmu Islam, mendorong kepada penguasaan ilmu Syariat dan Sains dan saling mempergunakan kedua-dua ilmu tersebut ke arah memahami hakikat Iman.

Beliau tidak banyak mendatangkan perselisihan pandangan Ulama, sebaliknya banyak memfokuskan kepada meneroka pelbagai kaedah penyampaian demi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat memahami mesej yang hendak diketengahkan.

Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said al-Nursi yang kehidupan dan matinya bujang, kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.

Sumber:
Kertas kerja Seminar Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006. Artikel asal bertajuk Dakwah Badiuzzaman Said al-Nursi.

Wednesday, August 4, 2010

IHYA' RAMADHAN





CERAMAH ihya ramadhan ini akan diadakan sebagaimana ketetapan berikut :
tarikh : 5 ogos 2010
tempat : dewan besar IPG kampus Pendidikan Teknik.
masa : 11-30 pg hingga 12.30 tgh hari.

moga ceramah ini dapat diimarahkan terutamanya bagi warga kampus tteknik.
bersam kita mengimarahkannya. insyaAllah hanya Allah yang dapat membrikan yang terbaik buat diri kita semua. moga pengetahuan-pengetahuan yang didapati semasa ceramah ini dapat diamalkan bersempena bulan Ramadhan yang kian muncul tidak lama lagi ini...

InsyaAllah............

bersama mengimarahkan sambutan IHYA' RAMADHAN 1431H